HULU TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT) menggesa siasatan dibuat ke atas Teresa Kok susulan kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan ketenteraman awam negara ini.
Ketua DPPHT, Muhamad Hamdi Harun berkata, Teresa Kok tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu memandangkan rakyat di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang majoritinya beragama Islam.
Menurutnya, kenyataan itu menyentuh kesucian agama Islam, iaitu perihal mendapatkan makanan yang halal di kalangan orang Islam dan hak beragama di kalangan orang Islam.
“Jelas kenyataan ini menghasut golongan bukan Islam untuk menentang tindakan kerajaan bagi mewajibkan sijil halal untuk orang Islam. Individu ini perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Ucapan ini jelas mendatangkan kegusaran dan kebimbangan dalam hati orang Islam di Malaysia kerana beliau merupakan ahli politik parti kerajaan.
“Kami turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan telus terhadap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu yang mampu mengundang pelbagai kesan buruk terhadap keharmonian rakyat di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis ke atas Teresa Kok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu hari ini.
Justeru itu, DPPHT berharap Majlis Raja-Raja dapat campur tangan dan mengambil tindakan serius terhadap Teresa.
“Hal ini kerana ini bukanlah pertama kali orang bukan Islam mempersoalkan perkara-perkara yang menyentuh soal Islam,” tambahnya lagi.
Hamdi juga berkata, pihaknya menuntut pemimpin Islam di negara ini bertindak tegas terhadap isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan agama Islam terus dipersoalkan.
“Tidak wajar kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin dalam parti kerajaan yang menentang mana-mana pihak yang menggunakan isu 3R ini, namun mereka sendiri yang bertindak sedemikian.
“Umat Islam di Malaysia tidak pernah sesekali mengganggu-gugat hak agama lain,”ujarnya.