Home Berita PAS Terengganu

Terengganu bakal terima pelaburan ladang ayam berteknologi tinggi

110
SHARE

KUALA TERENGGANU – Usaha berterusan kerajaan negeri untuk menarik pelabur kini membuahkan hasil apabila Terengganu  bakal menerima pelaburan besar dalam pembangunan ladang ayam berteknologi tinggi tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman, keputusan itu dicapai selepas pertemuan kali ketiga diadakan dengan dua syarikat Korea dalam usaha pelaksanaan projek terbabit dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam di negeri dan negara ini.

“Antara perkara yang dibentangkan adalah selain cara pemprosesan terkini dan pengadaptasian teknologi tinggi, ianya juga dibentangkan faedah-faedah yang akan diperolehi oleh Ladang Rakyat dan kerajaan negeri Terengganu.

“Perbincangan yang positif, In Sya Allah dengan kedatangan pelabur ini akan membantu untuk menyelesaikan masalah kekurangan ayam di negeri dan negara kita.” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, baru-baru ini..

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Beliau berkata, tanah untuk projek itu telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan di bawah program Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT).

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan, Nasiman  Sapari berkata, sasaran pengeluaran ayam sehingga 140 peratus seperti ditetapkan Dasar Agromakanan Negara 2030 sukar dicapai.

Katanya, pengeluaran ayam negara kini berdepan penurunan sehingga 39 peratus dalam tempoh 10 tahun dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila pengeluarannya berkurangan sekitar tiga juta ekor tahun lalu berbanding 2022.