Home Berita PAS Terengganu

70 Peratus REE Malaysia ada di SG4

92
SHARE

BANGI – Kerajaan Empat Negeri (SG4) memiliki potensi besar di masa hadapan terutamanya dalam industri sumber baharu apabila hampir 70 peratus unsur nadir bumi (REE) Malaysia berada di kumpulan SG4.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebersamaan negeri-negeri SG4 ini amat penting dalam membangunkan potensi berkenaan.

“(SG4) merupakan negeri-negeri yang memiliki hampir 70 peratus mineral nadir bumi negara yang diperlukan untuk pembuatan supermagnet dan industri EV dunia.

“Selain itu, SG4 turut dianggotai negeri-negeri pengeluar sumber makanan terbesar negara, mempunyai alam sekitar, hutan, tasik, pantai dan gugusan pulau peranginan yang paling menarik,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, dekat sini, hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, negeri SG4 juga mempunyai radiasi matahari terbaik di Malaysia yang berpotensi menjana pendapatan ekonomi.

“Ini membolehkan SG4 membangunkan industri tenaga hijau, termasuklah ada yang akan menjadi pusat Carbon Capture Utilization and Storage (CCUS).

“SG4 juga menjadi ‘gateway’ utama negara di sebelah utara menghubungkan Thailand, terutama wilayah selatan Thailand yang agresif aktiviti ekonominya, dan Tanah Besar Asia,” katanya.

Jelas beliau, semua potensi itu akan dibincangkan dengan lebih teliti dalam bengkel khusus mengikut klusternya.

“Bengkel ini bukanlah kali pertama diadakan, kerana kebanyakannya telah pun berbincang beberapa kali dan sudah memulakan kerjasama yang diinginkan.

“Bengkel ini akan menilai target-target pencapaian untuk jangka masa pendek atau hasil yang dapat dilihat dengan segera (low-hanging fruits), pertengahan dan jangka masa panjang,” ujar beliau.