Home Berita PAS Terengganu

Keberhasilan Kerjasama SG4 Adalah Peningkatan Kesejahteraan Hidup Rakyat

12
SHARE

Hari ini berlangsungnya program Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri atau State Government 4 (SG4) yang dihadiri oleh empat Menteri Besar (Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis), dua panel penasihat, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat DUN dan Ahli Parlimen, serta jemputan khas. Jumlah kehadiran pimpinan negeri dan jemputan daripada seluruh negara adalah sekitar 500 orang.

2. Objektif sidang kemuncak ini adalah untuk membina satu jaringan Kerjasama antara Kerajaan Negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis dengan pihakpihak berkepentingan yang terdiri daripada kalangan sektor awam, swasta, pelabur tempatan dan antarabangsa serta pihak berkepakaran pelbagai bidang bagi pembangunan sosio-ekonomi rakyat negeri-negeri berkenaan.

3. Potensi negeri-negeri SG4 amat besar merangkumi bidang-bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral kritikal, pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau dan kredit karbon, perdagangan dan eko-pelancongan, industri halal dan teknologi kewangan (fintech) syariah dan pendidikan.

4. Pembangunan negeri-negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi dan kekangan sumber membuka ruang kepada negeri-negeri SG4 yang masih memiliki zon industri yang lebih luas dan kos yang lebih efektif untuk menarik pelaburan-pelaburan berpotensi tinggi.

5. SG4 diuruskan oleh Majlis Menteri Besar SG4 yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu dan dianggotai oleh 3 lagi Menteri Besar serta Setiausaha Eksekutif. Di bawah Majlis Menteri Besar SG4 ini pula diwujudkan lima kluster utama yang menjadi platform kerjasama exco-exco negeri SG4 iaitu Kluster Infrastruktur dan Logistik, Kluster Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Kluster Pendidikan dan Modal Insan serta Kluster Sumber dan Pendapatan Baharu.

6. Sebuah entiti korporat SG4 juga telah ditubuhkan di bawah Majlis Menteri Besar ini untuk menyelaras dan membawa masuk pelaburan-pelaburan baharu rentas negeri SG4. Entiti korporat ini dimiliki dengan pegangan hakmilik yang sama rata setiap negeri dan berkerjasama dengan GLC sedia ada

7. Keberhasilan kerjasama SG4 adalah peningkatan kesejahteraan hidup rakyat menerusi pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan, serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi. Secara langsung, agenda ini akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

Sekian. Terima kasih. Wassalam.
YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan
Setiausaha Eksekutif SG4