Home Minda Presiden

Sifat mulia menerima teguran

205
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 36 / 2024]
SIFAT MULIA MENERIMA TEGURAN

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis yang sahih, apabila Rasulullah SAW mengetahui bahawa Abu Zarr al-Ghifari RA telah menghina seorang sahabat lain yang berketurunan hamba abdi, lantas Baginda SAW terus bersabda kepada Abu Zarr:

‌إِنَّكَ ‌امْرُؤٌ ‌فِيكَ ‌جَاهِلِيَّةٌ.

“Sesungguhnya, kamu ini seorang yang masih bersifat jahiliah.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6050, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aiman, No. 1661, daripada Abu Zarr]

Hal tersebut menyebabkan Abu Zarr RA bertaubat dan meminta maaf, sehingga beliau melakukan sesuatu yang luar biasa apabila memberikan pakaian yang sama kepada khadamnya. Muhasabah diri dilakukan tanpa marah yang tiada panduan.

Inilah sifat generasi awal yang mendapat keredaan Allah. Perkara ini juga diucapkan oleh Khalifah Abu Bakar RA ketika dilantik menjadi ketua negara, beliau menegaskan keterbukaan dirinya supaya dikritik sekiranya melakukan kesalahan. Kalau tidak berani melakukannya dengan berbohong dan memuji, maka dikira sebagai khianat dan pembohong besar terhadap pemimpin dan masyarakat.

Selain itu, Khalifah ‘Umar RA pula berdiri tegak dengan khusyuk menerima teguran seorang wanita tua. Begitulah sepatutnya sikap seorang pemimpin.

Namun begitu, sebaliknya yang terjadi apabila berlaku sifat Dajjal kepada para pemimpin yang berbohong dan berjanji secara terbuka supaya mendapat undi dalam pilihan raya melalui manifesto atau kenyataan umum dalam semua media tayangan dan cetakan. Demikian juga, secara terbuka mereka melakukan rasuah bagi mendapat sokongan, kemudian melakukan ugutan, bahkan mengambil tindakan secara amali terhadap pembangkang atau sesiapa sahaja yang melawan mereka.

Rakyat tidak lupa apabila diperbodohkan dengan janji untuk menurunkan harga petrol dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan, tiba-tiba harga naik melonjak sehingga berlaku inflasi yang membebankan. Hal ini menunjukkan amalan pepatah, “Telunjuk lurus, kelingking berkait,” dengan contoh lain seperti pemberian dengan cara menaikkan gaji, tetapi kemudian menaikkan cukai dan harga barangan keperluan.

Malah, mereka juga merampas hak negeri kerana memilih parti pembangkang, menafikan peruntukan terhadap wakil rakyat pembangkang, dan melambatkan peruntukan negeri yang ditetapkan melalui konsep federalisme oleh Perlembagaan Persekutuan, selain melakukan sesuatu terhadap pegawai yang dianggap tidak menyokong kerajaan.

Mereka melakukan perkara yang lebih daripada Dajjal yang hanya tidak memberi jika tidak beriman kepadanya, tetapi tidak mengambil. Sebaliknya, mereka melakukan konsep mengambil, kemudian tidak memberikan hak yang sepatutnya.

Malah mereka mengumpulkan sifat pembohongan, penindasan, dan ugutan yang menjadi konsep Dajjal pada akhir zaman. Kedua-dua perkara yang berlaku secara terbuka laksana pekung besar yang tidak boleh ditutup dengan tapak tangan.

Sepatutnya, mereka melakukan muhasabah diri sendiri sebelum dihisab oleh Allah pada Hari Kiamat kelak. Hanya rakyat yang nyanyuk atau yang tidak sihat akalnya boleh menolak atau menafikan apa-apa yang berlaku dengan nyata.

Para sahabat terdahulu tidak marah, malah jauh sekali melenting tanpa waras apabila dituduh bersifat jahiliah atau munafiq. Sebaliknya, mereka melakukan muhasabah diri; adakah sifat-sifat tersebut berlaku pada diri mereka.

Khalifah ‘Umar RA bertanyakan Huzaifah bin al-Yaman RA apabila mengetahui bahawa Rasulullah SAW memaklumkan kepada Huzaifah senarai nama para munafiq di Madinah; adakah namanya berada dalam senarai, tanpa bertanya akan nama-nama orang lain dalam senarai. Keadaan itu menunjukkan sifat taqwa menjaga diri sendiri dan menghayati firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ١٨

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa-apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah! Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Hashr: 18]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mentarbiah para pemimpin dan ahlinya agar berdisiplin terhadap diri dan parti sendiri walaupun lambat perjalanannya mencapai kemenangan, laksana kura-kura hijau yang luar biasa.

Lebih baik menjadi kura-kura yang keras kulitnya dan susah dimakan oleh anjing atau serigala, tetapi mudah menyorokkan kepalanya bagi menyelamatkan diri, di samping lambat perjalanan ke destinasi tanpa mengantuk dan berhenti di pertengahan jalan, berbanding dengan arnab yang mudah menjadi selera serigala dan anjing, selain gopoh melompat sehingga masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh pemburu.

Allah SWT mengingatkan generasi awal dengan firman-Nya:

لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٤٢ عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَتَعۡلَمَ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٤٣

“Kalau apa-apa yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak terlalu jauh, pastilah mereka yang munafiq itu akan mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh dirasai oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, ‘Jika kami sanggup, tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya, mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. (42) Semoga Allah memaafkan kamu. Mengapakah kamu memberikan izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzuran mereka) dan sebelum kamu mengetahui orang-orang yang berdusta? (43)” [Surah al-Tawbah: 42–43]

PAS tidak boleh menerima pemimpin yang suka berbohong dan suka bersumpah, malah tersasul dalam kenyataannya sehingga mendedahkan apa-apa yang tersirat lain daripada yang tersurat.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 21 Safar 1446 / 26 Ogos 2024