Home Berita PAS Terengganu

Persatuan Renang hantar penerjun wanita islam tanpa kebenaran

56
SHARE

KUALA TERENGGANU – Penyertaan atlet terjun wanita islam dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu tanpa pengetahuan dan kebenaran Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengesahkan penyertaan itu dihantar persatuan di bawah perbelanjaan sendiri dengan memohon kuota Terengganu.

“Penyertaan wanita islam dalam kejohanan itu berada di luar pengetahuan pihak saya.

“Kerajaan Negeri berpegang kepada kod etika berpakaian atlet muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihaknya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Jelas beliau lagi, Persatuan Renang Amatur Terengganu telah melakukan kunjungan hormat kepadanya pada 5 Jun 2024 untuk memohon pelepasan agar atlet terbabit dibenar bertanding di SUKMA 2024 dalam acara itu.

“Waktu itu juga saya telah tegaskan Kerajaan Negeri tidak dapat membenarkan sama sekali kerana bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan sekalipun atlet bukan berasal dari Terengganu jika dia seorang muslim.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri mempertimbangkan kebenaran untuk atlet bukan Islam bagi acara ini.

“Penegasan awal kepada pihak MSNT adalah supaya tiada atlet wanita Terengganu dan Muslim yang menyertai acara tersebut kerana pakaian atlet wanita dalam acara tersebut tidak mematuhi kod etika yang telah ditetapkan sekalipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu,” katanya.

Tambah Hishamuddin, pihaknya telah meminta pihak pengurusan MSNT untuk menyediakan laporan lengkap berkaitan dengan penyertaan atlet wanita terbabit.

“Kita juga akan memanggil pihak persatuan serta MSNT untuk memberikan penjelasan terperinci dalam masa terdekat.

“Tindakan selanjutnya akan dibuat setelah selesai sesi pendengaran oleh pihak persatuan,” jelasnya.

Beliau juga menghargai semua pihak yang prihatin dengan isu tersebut.

“Harapnya tiada lagi kedengaran, Kerajaan Negeri Terengganu mendiskriminasikan wanita. Malah sebenarnya, sentiasa berusaha memartabatkan maruah kaum wanita muslim.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Terengganu tidak menghalang pengamalan berpakaian kaum bukan Islam,” katanya.