Home Berita PAS Terengganu

Izzatul perbaharui Rekod Peribadi 100M

36
SHARE

KUCHING – Pelari pecut wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, berjaya memperbaharui catatan peribadinya apabila mencatatkan masa 11.90 saat dalam acara akhir 100M wanita di SUKMA XXI, sebentar tadi.

Sekalipun meraih pingat perak di belakang pelari pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, atlet berusia 16 tahun itu gembira dengan penampilan pertamanya di temasya terbesar tanah air itu.

“Untuk penampilan pertama ini, saya ‘underdog’ sebenarnya. Alhamdulillah, telah mendapat pingat perak dan untuk penampilan akan datang saya akan cuba perbaiki.

“Saya gembira (perbaharui rekod peribadi) sebab tiada tekanan kerana ramai tahu siapa yang dapat pingat emas, saya cuma ‘follow’ sahaja larian dan dapat buat (perak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlumbaan di Stadium Sarawak, sebentar tadi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Manir itu sebelum ini mencatatkan masa peribadi 11.92s dalam Asean School Games di Vietnam pada Jun lalu.

Dalam pada itu, Afrina yang menang dengan catatan masa 11.62s berjaya memecahkan rekod SUKMA milik pelari pecut Terengganu pada edisi 2018, Azreen Nabila Alias.

Tempat ketiga menjadi milik atlet tuan rumah, Ormilla Octavia Codday dengan catatan 12.91s.