Home Berita PAS Terengganu

Usah sebar aib rumah tangga di media sosial

10
SHARE

Oleh : Fatimah Din

MARANG  – Orang ramai dinasihat agar tidak bertindak mengikut emosi dan nafsu dengan mendedahkan masalah atau aib rumah tangga di media sosial.

Penceramah terkenal, Ustaz Wadi Annuar berkata, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah kembali kepada islam.

“Kembali kepada Allah adalah cara bagi menyelesaikan masalah dalam rumah tangga bukannya kita mengadukan hal tersebut kepada masyarakat awam.

“Ini adalah jalan kepada penyelesaian masalah rumah tangga, bukannya pergi mengadu pada netizen, mengadu di media sosial,” katanya dalam program Santai Murabbi bersama Ustaz Azhar Idrus di Rusila semalam.

Jelas beliau, isteri sepatutnya menjadi pelindung kepada suami, dan suami menjadi pelindung kepada isteri.

Tegasnya, membuka aib pasangan masing-masing dalam media sosial tidak menyelesaikan masalah.

Sebaliknya kata beliau, ia hanya merumitkan lagi hubungan dengan pelbagai fitnah yang timbul.

“Antara penyumbang utama kepada masalah rumah tangga adalah terlalu ‘mesra’ di media sosial.

“Mengikut kajian, Malaysia adalah negara tertinggi dalam isu penceraian dengan hampir 46 ribu penceraian pada tahun 2022 dengan lima kes berlakunya penceraian dalam masa satu jam,” kata beliau dengan nada kecewa.

Menurut laporan Berita Harian, sejak akhir-akhir ini, kisah pergolakan rumah tangga semakin mengungguli carian paling popular di internet terutama media sosial.

Malah, bukan hanya konflik rumah tangga selebriti, kisah masyarakat umum turut mendapat perhatian.

Ada memuat naik status mengenai kecurangan pasangan, membuat ‘live’ di platform media sosial untuk meluahkan perasaaan, malah ada memuat naik bukti kesalahan suami atau isteri dengan alasan ia jalan terakhir untuk menyelamatkan perkahwinan.