MARANG – Lebih 50,000 orang telah membanjiri program Santai Murabbi sekali gus menzahirkan perasaan cinta rakyat Terengganu khususnya anak muda terhadap ulama.
Program yang diadakan di Dewan Tuan Guru, Rusila Marang itu telah menampilkan pendakwah selebriti yang mencetuskan fenomena dalam negara iaitu Ustaz Wadi Annuar serta Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus.
Program yang bermula pada jam 8 malam itu dikendalikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah sebagai moderator.
Seluruh hadirin yang hadir pada malam itu telah memenuhi segenap ruang dalam dewan serta tidak berganjak dari tempat duduk bermula awal sehingga akhir program.
Rata-rata mereka tertarik mendengar pengisian agama melalui soalan-soalan yang diajukan.
Terdahulu, pada sebelah petang telah diadakan program bersama Mantan Timbalan Kesatuan Ulama Sedunia, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah mengupas dan membicarakan isu terkini mengenai negara Palestin.
Sebelumnya, anak muda lapan daerah di negeri ini telah menyertai acara konvoi motosikal bergerak dari kawasan masing-masing menuju ke Rusila dengan membawa bendera Palestin beserta sepanduk
Malah ada yang membawa sepanduk menuntut hak royalti Terengganu dikembalikan semula kepada rakyat negeri ini.