Home Berita PAS Terengganu

Bumi Sarawak ‘Pulangkan’ Semula Emas Terengganu

8
SHARE

KUCHING – Pengendali skuad berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan menyifatkan apa yang paling manis dalam kemenangan anak-anak buahnya hari ini, adalah kejayaan mereka merampas kembali pingat emas dalam kategori individu acara lepas beramai-ramai lelaki dalam SUKMA XXI Sarawak.

“Saya amat berbangga, sebab kami tunggu emas individu ini sejak 2018, kami dapat perak begitu juga pada tahun 2022.

“Kita dari awal sasarkan acara berpasukan sahaja, individu sebagai bonus sebab kita tengok peluang individu hanya 50-50.

“Kali ini, kita berjaya rampas kembali pingat emas yang kali terakhir diraih pada 2016, juga di bumi Sarawak,” luahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan tersebut di Politeknik Kuching, baru-baru ini.

Menurut beliau, kemalangan yang menyebabkan Aiman Haiqal Mohammad Khairul ketinggalan daripada peloton memaksa pasukan mengatur taktik baru untuk merealisasikan kemenangan.

“Laluan ini memang ‘course’ bagi Aiman, tetapi pusingan pertama basikalnya rosak dan tidak dapat kejar kembali, jadi kami simpan beliau supaya tidak penat dan guna lima tenaga sahaja untuk habiskan perlumbaan.

“Bila kita hilang seorang ‘rider’, memang kita terpaksa tukar rancangan untuk bergerak, sepatutnya pergerakan ‘breakaway’ itu Aiman dan Iqbal, tetapi apabila Aiman tiada kita terpaksa menggunakan Adam; yang sepatutnya digunakan untuk cari emas berpasukan,” katanya.

Beliau menambah, latihan yang dilakukan atlet berbasikal sememangnya agak keras kerana harapan MSNT dan rakyat Terengganu amat tinggi kepada pasukan itu dan beliau tidak mahu ada kesilapan