Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Program Kembara Dakwah dan Kebajikan yang dilaksanakan di Perkampungan Orang Asli adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri.
Katanya, inisiatif itu bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk komuniti ‘orang asal’, mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya.
“Program ini menyediakan bantuan kepada keluarga di beberapa perkampungan, dengan sumbangan berupa barangan keperluan harian yang diharap dapat meringankan beban kehidupan harian mereka,” katanya ketika dihubungi.
Dr Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syari’ah Negeri Terengganu, turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kampung (JPKK), perkampungan orang asli terbabit dan semua pihak memberiikan kerjasama dan sokongan.
Menurutnya, Program Kembara Dakwah ini bukan sekadar memberikan bantuan fizikal tetapi juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli.
Katanya, Program Kembara Dakwah dan Kebajikan yang dilaksanakan di Perkampungan Orang Asli secara berkala, telah memberikan manfaat langsung kepada penduduk setempat dengan sumbangan barangan keperluan harian.
“Saya juga menyeru agar semua pihak terus bekerja sama dalam memajukan dan memperbaiki kehidupan komuniti orang asli di negeri Terengganu.
“Dengan tema “Indahnya Hidup Bersyariat”, program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Program Kembara Dakwah dan Kebajikan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Justeru, kata beliau, menerusi inisiatif ini, diharapkan masyarakat Orang Asli dapat merasai kehadiran dan perhatian kerajaan dalam usaha mereka untuk meningkatkan taraf hidup.