Home Berita PAS Terengganu

Nahas bot karam, Kerajaan negeri hulur bantuan

17
SHARE

KEMAMAN  – Kerajaan negeri turut membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian bot nelayan berlanggar dengan tongkang, pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata beliau telah memastikan semua agensi kerajaan yang terlibat seperti Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Maritim dan Pejabat Daerah Kemaman dapat melaksanakan tugasan masing-masing dengan baik.

“Pihak kami telah menyediakan beberapa bentuk bantuan kepada mangsa yang ditemui. Pertama, kami telah menyediakan sebuah rumah tumpangan untuk mereka tinggal sementara waktu.

“Kita juga telah menyediakan pakaian baru, peralatan mandian, selipar dan sebagainya. Dalam masa yang sama, kami juga turut menyediakan makanan kepada mereka.

“Dalam masa sama memastikan keperluan mereka mencukupi sementara menunggu pihak berwajib dapat menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri ketika ditemui dilokasi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu berlaku pada jarak tujuh batu nautika atau 13 kilometer (km) dari kawasan perairan Kuala Kemaman.

Menurutnya, bot tersebut dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong berusia lingkungan 23 hingga 79 tahun untuk memancing.

“Penumpang bot terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor.

“Setakat ini, lima mangsa selamat, dua ditemui lemas dan dua lagi masih belum ditemui,” ujarnya.

Operasi pencarian mangsa yang masih hilang dihentikan jam 7.00 malam dan akan bersambung esok.