Home Berita PAS Terengganu

Penyu di Terengganu tidak ‘Merajuk’

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Statistik terkini mengenai penyu di Terengganu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan dalam aktiviti pendaratan, membuktikan bahawa penyu-penyu ini tidak ‘merajuk’ dan terus aktif dalam proses pendaratan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata data terkini menunjukkan jumlah sarang penyu di Terengganu semakin meningkat sejak tahun 2021.

“Pada tahun 2021, sebanyak 7,301 sarang penyu direkodkan, dengan 429,371 anak penyu dilepaskan ke laut. Pada tahun berikutnya, 2022, jumlah sarang meningkat kepada 9,618 dengan 586,430 anak penyu dilepaskan.

“Tahun 2023 menyaksikan jumlah sarang mencapai 10,130, sementara 636,477 anak penyu telah dilepaskan ke laut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Dr Azman berkata bahawa statistik itu menunjukkan trend positif, dengan peningkatan jumlah sarang dan anak penyu setiap tahun.

Menurutnya, peningkatan jumlah sarang dan anak penyu yang dilepaskan adalah petunjuk bahawa program pemuliharaan kami memberi kesan yang baik.

“Dianggarkan lebih daripada 400,000 telur penyu menetas di Terengganu setiap tahun, menghasilkan anak penyu yang kemudiannya dilepaskan ke laut.

“Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 400 daripada 400,000 anak penyu yang dilepaskan mungkin akan kembali ke pantai asal mereka apabila dewasa.

“Program pelepasan anak penyu yang dijalankan secara berterusan adalah langkah penting dalam usaha kami untuk memastikan kelestarian spesies ini,” ujarnya.

Dr Azman berkata kerajaan negeri Terengganu akan terus mempergiatkan usaha pemuliharaan penyu dan memastikan bahawa spesies ini terus berkembang di perairan negeri ini.