Home Berita PAS Terengganu

Surau Pantai Batu Buruk berwajah baru

16
SHARE

KUALA TERENGGANU – Surau di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk yang telah siap diperbaiki, diserahkan oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, hari ini.

Surau tersebut diperbaiki pada Jun lalu melibatkan kos keseluruhan bernilai RM120,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman dan dibuka bermula hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menerima penyerahan berkenaan, merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat terlibat dan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim yang turut bersama mengusahakan pelaksanaan projek itu.

“Bagi kami daripada pusat khidmat DUN, kita menerima banyak aduan dan kita telah ambil tindakan sejak daripada penggal lepas lagi dan inilah kemuncaknya dan saya kira insya-Allah, ia akan berikan kemudahan kepada pengunjung-pengunjung.

“Apa yang penting ialah kesinambungan, yang telah ada perbincangan untuk kita rancang kesinambungan surau ini supaya hidup dan terjaga.

“Dari segi pengurusan insya-Allah akan diuruskan oleh pusat khidmat DUN Batu Buruk bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Batu Buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tersebut, hari ini.

Menurut Dr Khalil, pihaknya akan melantik imam bertugas dalam tempoh terdekat supaya surau itu boleh diimarahkan khususnya pada waktu yang tertentu seperti waktu Asar, Maghrib dan Isyak.

Tambahnya, melalui pemerhatian secara umum kawasan-kawasan pelancongan di negeri Terengganu memiliki kemudahan rumah ibadah sama ada surau dan masjid berdekatan yang memudahkan pelancongan menjaga ibadah sewaktu bercuti.