Home Berita PAS Terengganu

Muslimat desak Persekutuan tunai tanggungjawab bayar royalti

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Pusat menghentikan sekatan dan menunaikan tanggungjawab membayar royalti secara tunai kepada Kerajaan Negeri.

Ketuanya,To Puan Hajah Zarani Othman berkata, gesaan itu mencerinkan kekecewaaan rakyat kepada Persekutuan untuk tindakan segera diambil,, dengan harapan mendapat perhatian dan penyelesaian yang adil.

“Kerajaan Madani yang ada sekarang dilihat mengambil langkah-langkah menyusahkan rakyat Terengganu dengan menyekat pembayaran royalti petroleum sepatutnya diberikan.

“Alasan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat, termasuk tuduhan pengurusan kewangan negeri tidak cekap dan masalah kemiskinan adalah tidak berasas dan tidak adil,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, royalti ini adalah sumber kewangan penting untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Terengganu.

“Royalti petroleum ini bukan sahaja hak yang sah berdasarkan perjanjian antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS sejak tahun 1975, tetapi juga sumber penting untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Tuduhan-tuduhan ini secara tidak langsung menafikan pengiktirafan yang telah diterima oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam pengurusan kewangan, termasuk Sijil Ketua Audit Negara “Pendapat Tanpa Teguran” bagi lima tahun berturut-turut (2018-2022) dan kedudukan teratas dalam Indeks Terbuka Belanjawan Malaysia (MyOBI) 2022 dan 2024,” ujar beliau.

Tambah Zarani, tindakan menyalurkan wang terus kepada kontraktor tanpa melalui Kerajaan Negeri dianggap mengetepikan kuasa Kerajaan Negeri dan menimbulkan masalah dalam pelaksanaan projek.

“Kami menuntut keadilan untuk rakyat Terengganu yang telah dinafikan hak mereka kali ini.

“Sekatan royalti petroleum ini adalah satu bentuk penindasan terhadap rakyat Terengganu yang memilih pemimpin bukan dari kalangan mereka,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru semua petugas agar menghadirkan diri ke setiap program Jelajah Suara Rakyat yang diadakan di peringkat DUN dan kawasan masing-masing serta menyokong aktiviti yang dijalankan.

“Marilah kita terus berjuang dan berdoa agar hak rakyat Terengganu dikembalikan,” tegas beliau.