Home Berita PAS Terengganu

DAP perlu belajar hormat hak majoriti rakyat

22
SHARE

KANGAR – Naib Presiden DAP, Teresa Kok diingatkan agar tidak hanya lantang bersuara mempertahankan hak minoriti bukan Islam sebaliknya perlu belajar menghormati sensitiviti masyarakat muslim di negeri terbabit dan juga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, tidak wajar isu larangan penyanyi wanita mengadakan persembahan di kuil pada acara keagamaan ditimbulkan kerana garis panduan hiburan di Terengganu telah sedia difahami oleh semua pihak.

Tegasnya, pemimpin DAP itu perlu faham, apabila ia diadakan di tempat umum maka kerajaan negeri tiada kompromi bagi memastikan syariat terjaga.

“Bagi orang bukan Islam mereka boleh buat persembahan pada majlis dan upacara keagaaman mereka, sekiranya diadakan di tempat tertutup dan tidak mengganggu orang lain dan itu merupakan hak mereka.

“Namun, jika dibuat di kawasan terbuka dan majlis mereka didapati mengganggu masyarakat, kerajaan negeri tidak boleh berkompromi.

“Jika hendak dibuat, buat sesama mereka dalam majlis atau dewan tertutup maka tidak akan ada masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Kerajaan Negeri Perlis, di sini, semalam.

Tegasnya lagi, dalam ketegasan Teresa Kok bercakap mengenai hak minoriti jangan dilupakan keutamaan untuk turut menjaga sensitivibmasyarakat Islam yang merupakan majoriti di negara dan Terengganu secara khususnya.

“Apabila bercakap tentang menjaga hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti.

“Sedangkan masyarakat di Terengganu hidup secara aman dan harmoni walaupun muslim 96 peratus, namun hak bukan Islam tiada masalah selama beratus dan berpuluh tahun, kami hidup harmoni saling bertoleransi.

“Masing-masing menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Justeru beliau memberikan peringatan tegas agar hak orang Islam perlu dijaga bagi memastikan keharmonian terus berkekalan.

“DAP selalu menimbulkan dakwaan bahawa kita tidak menjaga hak orang bukan Islam.

“Saya nak sebutkan di sini, hendak beri peringatan bahawa mereka juga perlu menjaga hak orang Islam.

“Kerana Islam adalah agama rasmi dan merupakan majoriti dalam negara,” ujarnya.