Home Berita PAS Terengganu

UniSZA terima surat pengesahan akreditasi dari Arab Saudi

8
SHARE

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mencipta sejarah apabila menerima surat pengesahan akreditasi daripada kerajaan Arab Saudi.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato’ Dr. Fadzli Adam, berkata dengan pengiktirafan itu, UniSZA berharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari Arab Saudi, serta memperkukuh kerjasama dengan institusi yang berada di Arab Saudi.

“Saya percaya bahawa kerjasama ini akan membuka peluang untuk pertukaran pengetahuan, penyelidikan bersama, dan program mobiliti pelajar yang dapat memperkaya pengalaman akademik dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau dan Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Dr. Fahad Mohammed Alsehmmeri menerima perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA semalam.

Turut bersama-sama dalam majlis mengadap ialah Pro Canselor UniSZA, Yang Mulia Tunku Dato’ Nooruddin Tunku Dato’ Seri Shahabuddin, dan Pendaftar UniSZA, YBrs. Encik Muzafar Mohd Din.

Tambahnya lagi, pengiktirafan tersebut adalah satu pencapaian penting kepada UniSZA yang menunjukkan komitmen  dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan memenuhi standard antarabangsa.

“Kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia adalah bukti usaha keras dan dedikasi semua warga UniSZA.

“InsyaAllah, kami sentiasa berkomited untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik,”ujar beliau.

Dalam masa sama, delegasi Saudi Cultural Attache mengadakan perbincangan dan pembentangan bersama wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam di Bangunan Canselori sebelum meluangkan masa melawat Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)