Home Berita PAS Terengganu

Vape bernikotin bukan caranya….

10
SHARE

Ibarat ‘diberi betis nak paha’ itulah perumpamaan kelulusan penggunaan vape di Australia. Walaupun penggunaan vape bagi kaedah untuk berhenti merokok adalah kontroversi, tetapi kerajaan Australia meluluskan juga pemberian vape tersebut dengan syarat ianya perlu mendapat preskripsi dari doktor atau perawat yang berdaftar bermula 1 Oktober 2021 .

Setelah lebih dua tahun akta itu berjalan, sekali lagi kerajaan Australia mengubah Akta penggunaan vape bagi mereka yang ingin berhenti merokok. Pindaan akta ini bertitik tolak kerana kajian terkini menunjukkan hampir separuh daripada kajian dalam kalangan remaja (15-30 tahun) mereka telah mencuba vape. Lebih menyedihkan hanya 7% sahaja yang mendapatkan vape melalui preskripsi doktor.

Justeru, mulai 1 Januari 2024, import vape sekali pakai (disposable / single-use vape) ke Australia telah dilarang sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengurangkan penggunaan vape, terutama di kalangan golongan muda. Ini menunjukkan mereka terlalu bermudah-mudah untuk meluluskan akta tanpa melihat kesan penggunaan secara berleluasa dalam kalangan rakyat.

Royal Australian College of General Practitioners (RACGP) telah mengeluarkan garis panduan sementara untuk membantu doktor umum berdaftar (GP) mengaplikasikan perubahan besar ini.

Ditegaskan sekali lagi bahawa Produk Vape Bernikotin (NVP) masih lagi menjadi isu kesihatan global dan pihak kerajaan wajib berhati-hati jika ada pihak bermati-matian menjadikan NVP sebagai salah satu dari kaedah berhenti merokok. Sehingga kini penggunaan NVP:
1. Tidak diketahui kesan jangka panjang penggunaan NVP ini.
2. Terdapat produk vape yang tidak berdaftar di bawah mana-mana badan penyeliaan, menyebabkan tidak diketahui keberkesanan keselamatan dan kualiti produk-produk berkenaan.
3. Tiada keseragaman bahan kandungan dan jumlah nikotin yang terdapat di dalam NVP, menyebabkan ketidakpastian dalam penggunaannya sama ada memberikan kesan yang optimum ataupun tidak terhadap pesakit.
4. Bagi mendapatkan manfaat yang maksima dan mengurangkan mudarat vape, tidak ada satu kaedah pemantauan yang lebih komprehensif bagi mengelakkan penggunaan dual (menggunakan dua-dua : rokok dan vape) di dalam kalangan pesakit.
5. Bagi pesakit yang memilih untuk menggunakan vape secara berpanjangan melebihi dari garis panduan iaitu enam bulan, tidak diketahui kesan jangka panjang.

Sesuai dengan konsep hukum yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai penggunaan vape, iaitu untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar pada satu ketika nanti, sebaiknya penggunaan Vape Bernikotin tidak dibenarkan. Dalam masa sama jangan sesekali membenarkan ruang-ruang ‘pintu fitnah’ (Saadu zaraik) sehingga mungkin keburukan yang lebih besar yang akan berlaku pada satu masa nanti kalau kita memberi kebenaran dan merasionalisasikan penggunaan vape ini. Jika sudah menjadi rasional dan normalisasi dek kerana mengikut trend anak muda, dibimbangi pada satu ketika nanti amat sukar untuk kita membuat penegasan akta dan hukum, akibat daripada kita terlalu bermudah-mudah pada masa sekarang.

Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
5/8/2024