Home Berita PAS Terengganu

Peniaga Pasar Payang 1 puas hati, bersyukur

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Para peniaga yang memulakan perniagaan di Payang 1 pada Khamis, rata-rata melahirkan rasa syukur dan gembira atas peluang yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) untuk berniaga.

Para peniaga yang ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) turut menyatakan kepuasan hati mereka dengan fasiliti disediakan MBKT seperti tapak berbumbung, kawasan luas dan beberapa kemudahan lain.

Peniaga barangan kraftangan, Amira Mohd Yusooff, 26, berkata lokasi perniagaan baru itu amat selesa dan luas berbanding di tapak lama.

Amira sejak kecil membantu ibunya berniaga selama lebih 15 tahun itu menjual pelbagai barangan kraf seperti angklung, perhiasan rumah, anyaman, serta barangan berasaskan rotan dan mengkuang.

“Saya harap lokasi ini akan kekal dan saya tidak sabar untuk menerima pengunjung pada hari pertama ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Selain itu, seorang lagi peniaga, Wan Fauzi Wan Sulong, 58, berkata bahawa lokasi baharu perniagaan itu amat strategik dan memudahkan pelanggan untuk mengunjungi premisnya.

Dia melahirkan ucapan teruja selepas beberapa lama menunggu dan membuat persiapan, akhirnya hari itu kompleks pasar baharu ini telah mula beroperasi.

“Saya juga berharap agar lokasi baharu ini akan terus menerima kunjungan pelancong, sama ada tempatan atau dari luar Terengganu.

“Dahulunya, saya berniaga di hujung dan sekarang saya berniaga di tengah-tengah membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjalani pernigaan hari-hari mendatang,” ujarnya.