TEMERLOH: PAS Pahang mendesak supaya dihentikan terus pengeluaran bauksit di daerah ini setelah arahan moritarium yang dikenakan oleh Kementerian Alam Sekitar selama setahun setengah gagal menangani masalah bauksit dan kemarahan penduduk.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu berkata, sejak Januari 2016 kerajaan telah menguatkuasa arahan moritarium iaitu pemberhentian sementara pengeluaran bauksit bagi menghabiskan stok yang sedia ada terlebih dahulu.
Beliau yang juga Adun Beserah berkata, sejak itu stok galian tersebut tidak pernah berkurang selain masalah pencemaran, kesesakan, jalan rosak dan kemarahan penduduk tidak selesai.
“Jadi PAS Pahang berpendirian baiklah pengeluaran bauksit itu dihentikan sama sekali.
“Saya lihat ada tiga perkara dalam hal ini iaitu kegagalan pihak berkuasa beroperasi. Kegagalan pihak pengusaha untuk patuh kepada peraturan dan kegagalan kerajaan membaiki semula kemudahan yang rosak akibat dilalui lori-lori memunggah bauksit seperti jalan yang rosak dan berdebu dan longkang yang tersumbat.
“Tiga perkara inilah yang menaikkan kemarahan kepada penduduk dan ianya tidak pernah reda sejak perusahaan galian bauksit ini dijalankan,” katanya.
Tambahnya, peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa operasi memunggah bauksit hanya dibenarkan sehingga ke jam tujuh malam tetapi apa yang berlaku sebaliknya.
“Buktinya baru-baru ini penduduk yang terlibat telah menahan 10 buah lori memunggah bauksit pada jam dua pagi.
“Jadi kami berpendirian baiklah pengeluaran bauksit ini dihentikan sama sekali lagipun ia tidak menguntungkan kerajaan. Bayangkan sekarang kerajaan tidak mendapatkan apa-apa faedah kerana bauksit yang dikeluar atau dipunggah secara haram sekarang.
“Lagi pula, bauksit ini dikira zero GST jadi apa untungnya kerajaan? Jadi baiklah dihentikan terus,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita serentak dengan jamuan raya pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang di Jalan Sudirman di sini tengahari tadi.
Pejabat tersebut mengadakan jamuan raya setiap tahun bagi mendekatkan PAS dengan masyarakat sekitar.