Home Berita PAS Terengganu

‘Lapor polis jika berlaku aktiviti karan ikan’

6
SHARE

MARANG – Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak polis atau pejabat perikanan berhampiran jika terdapat aktiviti kaedah penangkapan ikan terlarang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti menggunakan racun, bom ikan atau menangkap ikan menggunakan arus elektrik.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, kaedah tersebut akan mengakibatkan kepupusan spesies ikan dan hidupan lain sekali gus akan mengganu ekosistem sungai dan turut memberi kesan kepada nelayan darat hilang sumber pencarian.

“Jika ada nampak cara yang salah digunakan untuk menangkap ikan laporkan segera kepada Jabatan Perikanan, tindakan undang-undang akan diambil melalui Akta Perikanan 1985.

“Adalah perlu untuk orang ramai peka dan cari jalan bagi mengatasi perkara ini bagi menjaga ekosistem sungai dan memelihara spesies ikan dan hidupan lain bagi mengekalkan kelestarian yang akan memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat Daerah Marang dan Hulu Terengganu, di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, di sini, hari ini.

Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.

Mengulas lebih lanjut, Ruzaidi berkata individu yang didapati bersalah menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (pindaan 1993).

Katanya, individu bersalah boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM500 atau denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Orang awam juga diingatkan agar tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan sungai dibimbangi ia akan turut menjejaskan ekosistem sungai dan kepupusan spesies ikan asli.

“Antara spesies asing adalah Ikan Baung Ekor Merah, Ikan Bandaraya, Ikan Peacock Bass dan Ikan Pacu,” ujarnya.