Home Berita PAS Terengganu

Insentif SUKMA seiring prestasi atlet di Sarawak

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengumumkan insentif kejayaan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diberikan kepada kontinjen Terengganu adalah berdasarkan prestasi atlet-atlet ketika bertanding.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri memaklumkan, insentif tersebut disediakan namun beliau memilih untuk tidak mengumumkan jumlahnya terlebih dahulu.

“Hari ini saya mahu buat berbeza sedikit. Berbeza itu kerana saya tidak sebutkan jumlahnya, tetapi ia ada.

“Saya akan turun sendiri ke Sarawak melihat para atlet bertanding, saya akan menilai kesungguhan atlet bertanding, kalau bersungguh dan kita menjadi juara Insya-Allah ganjarannya lebih baik daripada tahun sebelum ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontijen SUKMA XXI Sarawak, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Dr Samsuri menyerahkan bendera Terengganu kepada ketua kontinjen dilantik, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Untuk SUKMA ke-21 ini, kontinjen Terengganu disertai 568 atlet, 44 pengurus pasukan, 108 jurulatih,40 pegawai tambahan selain 148 pengurus sukan, urus setia dan pengursan kontinjen menjadikan jumlahnya seramai 908 orang.

Terengganu akan menyertai 36 jenis sukan melibatkan 340 acara dari 488 acara yang dipertandingkan kali ini.