Home Berita PAS Terengganu

PAS kecam pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam serangan terbaru oleh Israel yang mengakibatkan kematian Ketua Politik Pasukan Pejuang Palestin, Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Dalam satu kenyataan media, Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyifatkan tindakan Israel sebagai jenayah perang dan kejam.

Menurutnya, serangan tersebut berlaku di ibu kota Iran, Tehran, dan turut mengorbankan seorang pengawal peribadi Ismail Haniyeh.

“PAS turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah.

“Serangan ini bukan sahaja merupakan satu bentuk penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan tetapi juga menunjukkan bahawa Israel terus menerus menjadi dalang di sebalik keganasan yang berlaku di Gaza,” ujar kenyataan tersebut.

Abdul Hadi berkata tindakan mereka adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Beliau juga mengingatkan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan yang tidak pernah berakhir dan memerlukan sokongan berterusan daripada umat Islam dan masyarakat antarabangsa.

“Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim. PAS menyeru kepada seluruh dunia untuk mengutuk tindakan Israel dan menuntut tindakan tegas terhadap negara tersebut.

“Serangan ini menambah kepada ketegangan yang sedia ada di Timur Tengah, dengan banyak pihak mengecam tindakan Israel dan menyeru kepada penyelesaian damai yang adil untuk konflik Palestin-Israel,” ujarnya.

Menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi di laman web beritanya berkata, Haniyeh tiba di Tehran pada hari Selasa untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, di parlimen Haniyeh juga sempat bertemu dengan Pezeshkian serta pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

“Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut, tetapi disyaki dilakukan oleh tentera Israel, yang telah berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu.

“Punca kejadian itu belum dijelaskan dengan jelas, namun wakil Iran hanya menyatakan bahawa siasatan sedang dilakukan,” ujarnya.