Home Berita PAS Terengganu

Motivasi Atlet Sukma Terengganu di tahap terbaik

15
SHARE

KUALA NERUS – Motivasi atlet Terengganu yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berada pada tahap terbaik menjelang temasya sukan itu yang akan diadakan di Sarawak pada bulan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia. Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan laporan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semua atlet sangat bersedia.

“Sebahagian besar telah pun melalui latihan termasuk berkunjung ke luar negara, ada yang telah melalui beberapa perlawanan dan persaingan dengan pelbagai pihak di mana sebahagian besar atlet telah mula berada di Kuching.

“Saya difahamkan ketika hari perlawanan (bola sepak) Terengganu FC menentang Selangor (Separuh Akhir Piala FA) atlet sukan layar telah pun bertolak ke sana.

“Jadi saya jangkakan dari semasa ke semasa akan bermulalah atlet-atlet kita akan berada di Sarawak mengikut jadual perlawanan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program ‘Fit Is Sunnah’ 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berharap agar tuah akan berpihak kepada atlet Terengganu bagi mencapai sasaran untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya sukan berprestij dalam negara itu.

“Kita harap kita akan jadi juara keseluruhan dengan semua atlet akan berusaha bagi mencapai pingat emas,” ujarnya.