Oleh : JOHARI YAHYA
INDERA MAHKOTA, 21 Jul – Program Misi 400 Jemaah Solat Isyak atau Plan 400 JSI telah dilancarkan di Masjid Baitul Rahman Kampung Batu Hitam bersempena dengan sambutan Maal Hijrah di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Andansura Rabu berkata program tersebut diusahakan oleh jawatankuasa masjid bertujuan untuk memakmurkan masjid.
“Ia merupakan satu usaha yang sangat baik dan murni untuk meramaikan kariah-kariah bersolat jemaah dan bertepatan dengan fungsi institusi masjid itu sendiri di kawasan setempat.
“Seperti mana kita ketahui perkembangan Islam itu bermula dari masjid maka kita perlu untuk bersama di masjid dalam penyatuan dan kesatuan masyarakat setempat,” ujar beliau.
Tambah beliau, masjid bukan sahaja berperanan menyebarkan ilmu, bahkan mesti dan mampu menyatukan dan memahamkan masyarakat tentang Islam yang sebenar.
Katanya, Islam bukan sekadar menjalankan ibadat khusus sahaja, tetapi ianya meliputi semua aspek kehidupan termasuk soal ekonomi, kebudayaan, politik dan sebagainya.
“Maka gunakanlah masjid dengan sebaiknya dan semaksimum mungkin untuk memberi kefahaman kepada masyarakat Islam bahawa Islam bukan sekadar solat, puasa, pergi haji dan sebagainya.
“Usaha ini adalah satu inisiatif yang baik daripada jawatankuasa masjid, kita sokong dan mengharapkan ianya dapat memberikan satu impak yang baik kepada masjid-masjid yang berada di sekitar kawasan DUN Beserah ini,” ujar Andansura Rabu lagi.
Gimik Pelancaran Misi 400 JSI telah disempurnakan oleh Kadi Daerah Kuantan Syarifuddin Mohamad yang juga sebagai penceramah program Maal Hijrah pada malam tersebut.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Balai Beserah diwakili oleh Sarjan Mejar Hafizudin Khamis, Pengerusi Masjid Mohamad Amdan Sulaiman, Tok Empat Batu Hitam Nordin Osman, Tok Empat Kampung Baru Beserah Mohd Zuraimi Osman, Imam Masjid Safie Hassan, Ahli Jawatankuasa Masjid dan masyarakat setempat.