Oleh : Nur Marlyannah Umar
16 Julai 2024, Selasa
LAHAD DATU : Sekolah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Lahad Datu yang baru sahaja selesai mengadakan Kem Kepimpinan SRITI 2.0 yang telah berlangsung pada 12 hingga 14 Julai bertempat di SRITI Tahfiz Lahad Datu, baru-baru ini.
Seramai 45 orang murid dalam kalangan Pengawas, Ketua Kelas, Penolong Ketua Kelas dan murid-murid Tahap 2 telah berkampung dalam program itu bagi menjalani modul-modul khusus yang diselia oleh Unit Hal Ehwal Murid.
Program ini, kali kedua diadakan bagi membentuk sahsiah murid, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin disamping memimpin murid ke arah kebaikan dan mematuhi peraturan sekolah dari semasa ke semasa.
Guru Besar SRITI Tahfiz Lahad Datu, Razik Tan merakamkan ucapan terima kasih kepada Hal Ehwal Murid khususnya guru-guru atas penganjuran bagi melahirkan murid yang berjiwa pemimpin ummah.
“Saya berharap, para peserta dapat mempraktikkan modul-modul yang dipelajari sepanjang Kem Kepimpinan dalam kehidupan seharian mereka, bukan hanya menjadi pemimpin hanya pada kertas sijil semata,” katanya.
Sementara itu, majlis perasmian penutupan Kem Kepimpinan SRITI 2.0 yang disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan SRITI Tahfiz Lahad Datu, Zaki Ibrahim berkata pihak SRITI akan terus menyediakan program sebegini bagi tujuan membina kepimpinan murid-murid SRITI.
“Program ini, diharap dapat memberikan kefahaman jelas yang bukan hanya sekadar sebagai murid SRITI tetapi merupakan pemimpin ummah bagi melahirkan amilin.
“Pihak SRITI akan memberikan sokongan dan dokongan kepada semua pihak agar usaha ini juga dapat dibentuk dalam generasi awal sekolah, seterusnya mereka nanti akan menjadi golongan pakar yang berguna kepada masyarakat,” katanya pada majlis perasmian penutup program tersebut.
Program tiga hari dua malam itu, pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh penganjur seperti kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, kawad kaki, treasure hunt Quran, qiamullail, solat berjemaah dan lain-lain.
Dalam upacara majlis perasmian penutup tersebut, turut diadakan penyampaian sijil dan anugerah peserta terbaik, anugerah peserta terbaik diberikan kepada Iqbal Hakim Ismail Jay dan Siti Nur Syahadah Subkhan.