Oleh : Nur Marlyannah Umar
8 Julai 2024, Isnin
LAHAD DATU : Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Falah menguasai acara bola sepak dan bola jaring PASTI dengan menjuarai kedua-dua acara sukan tersebut dalam Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) PASTI Lahad Datu di Kompleks Sukan Semai Bakti ,Felda Wilayah Bandar Sahabat, Ahad kelmarin.
Pada kejohanan ini, Kontinjen PASTI Al-Falah dipimpin oleh Pengerusi Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG), Salman Habba dan Guru Kanan PASTI Al-Falah, Hidaya Mohamed bersama tiga guru pengiring dan 10 pemain masing-masing bagi dua acara itu.
Dalam perlawanan sengit acara bola sepak antara PASTI Al-Falah menentang PASTI Al-Hidayah, pasukan PASTI Al-Falah ternyata unggul memuktamadkan kejuaraan menundukkan pasukan PASTI Al-Hidayah dengan keputusan 1-0.
Manakala dalam acara bola jaring pula, PASTI Al-Falah menang dengan selesa mengalahkan PASTI An-Najah dengan keputusan 5-1.
Pengerusi PASTI Lahad Datu, Landari Labobo berkata PASTI yang menjuarai acara bola sepak dan bola jaring secara langsung akan mewakili PASTI Kawasan Lahad Datu ke Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Zon Timur yang bakal berlangsung pada 21 Julai 2024 di Kota Kinabatangan.
Ketua Ulamak PAS Kawasan Lahad Datu, Ustaz Zaki Ibrahim dalam ucapannya menghargai dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana membantu PASTI dalam apa jua program yang dilaksanakan.
Beliau juga berharap sokongan padu ini akan berterusan daripada ibu bapa PASTI Lahad Datu.
Turut hadir dalam kejohanan tersebut, Ahli Majlis Daerah Lahad Datu Kanizam Kamis.