Home Berita PAS Pahang

Saya tak nak salah parking, saya nak parking di tempat yang betul

2030
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 10 Jun – “Saya tak nak salah parking, saya nak parking di tempat yang betul, ramai kawan-kawan dalam Umno sedang alih parking,” kata Timbalan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa secara berseloroh.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) di Dewan Syed Zulkifli Balok di sini semalam.

“Kalau tak pandai nak bodek, tak pandai nak jilat, sudah tentulah jawatan dipecat, tapi saya kena pilih antara kebenaran dan pembohongan, saya pilih kebenaran, menyatakan kita tetap tidak menyokong Anwar dan menolak DAP.

“Berkata benar maka dipecat, jawatan boleh dicabut dipecat, namun perjuangan saya tiada siapa boleh pecat kerana saya berpegang kepada prinsip,” kata Annuar Musa.

Tambahnya prinsip beliau, politik adalah fardu kifayah namun separuh ulama berpendapat menjadi fardu ain bagi yang memegang jawatan untuk melaksankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan terutama bagi mereka yang berkeupayaan dan berkebolehan dalam melaksanakan.

Katanya, politik perlu berada dalam jemaah, maka beliau bersyukur berada dalam PAS sebuah parti yang menjalankan tuntutan fardu kifayah berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

“Selain itu PAS juga adalah parti dakwah, ada kelebihan besar dalam perjuangannya mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat dalam usaha menegakkan yang baik dan mencegah perkara-perkara yang mungkar,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu menyeru kepada jentera pilihan raya agar menyantuni anak-anak muda lepasan SPM yang menjadi alumni Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) untuk mendapatkan sokongan mereka dalam PRU ke-16 nanti.

Menurut beliau yang juga sebagai Yang Dipertua PASKIM,  ia amat penting bagi merealisasikan kemenangan mutlak 3-0 dapat dicapai bukan sahaja mempertahankan Parlimen Indera Mahkota dan DUN Beserah tetapi juga memenangkan DUN Semambu.

Pelancaran misi tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Annuar Musa semasa merasmikan mesyuarat agung berkenaan.

Turut hadir MAT ini adalah Ketua BERSATU Saifuddin Abdullah, Ketua Dewan Himpunan Pemuda PAS Pusat, Balendran Balasubramaniam, Setiausaha GERAKAN Pahang Raymond Cham Choon Fatt bersama Ahli Jawatankuasa, Mantan ADN Beserah Syed Mohamad Tuan Lonnik, Pemerhati Negeri dari Badan Perhubungan PAS Pahang, Hamdan Abdullah dan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Pahang Ustaz Ismail Mohamed.