Islam yang sempurna daripada Allah dianggap musuh pertama oleh semua pihak lain, khususnya pihak kerajaan berkuasa yang meninggalkan syariat Allah sejak awal kehidupan manusia sehingga kini. Maka, para rasul menjadi sasaran semua kuasa besar termasuk kuasa kecil di bawah naungan masing-masing yang mencabar kuasa Allah.
Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣
“Pada mulanya manusia itu merupakan umat yang satu. (Akan tetapi setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan (khabar gembira dan amaran), dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab (yang mengandungi keterangan) yang benar untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. (Sebenarnya) tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman tentang kebenaran yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Sejak Nabi Adam AS lagi, para rasul menjadi sasaran pertama. Baginda menerima penentangan Iblis yang menolak perintah Allah yang telah menentukan makhluk manusia wajib mentadbir bumi dengan agama-Nya. Walaupun Iblis itu dapat berdialog secara langsung ketika menghadap Allah serta pernah menyaksikan keadaan syurga dan neraka, disebabkan sifat takabur dalam dirinya maka tidak layak mendapat hidayah Allah.
Lalu Adam AS dan zuriat keturunannya terus menjadi musuh Iblis, sehingga Baginda dihalau ke bumi alam dunia mengikut ketetapan Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Selepas itu, diikuti oleh Nabi Nuh AS yang berdepan dengan para pemimpin dalam kalangan kumpulan pemimpin manusia yang menjadi pengikut Iblis, iaitu golongan yang dinamakan al-mala’. Mereka mencipta tuhan selain Allah, pada masa yang sama bertindak mencabar undang-undang yang ditetapkan Allah kepada makhluk-Nya termasuk manusia.
Seterusnya, al-Quran menceritakan kemunculan raja-raja yang zalim seperti Namrud, Raja Babylon yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS. Kemudian, diceritakan kisah Nabi Musa dan Nabi Harun AS yang menghadapi Firaun Mesir yang zalim, diikuti oleh nabi-nabi yang lain.
Semua pihak yang menentang para rasul itu, berlagak menjadi Tuhan yang mencipta cara hidup yang menentang agama Allah. Hal ini termasuklah penentang nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW daripada kalangan kabilah Arab sehingga kalangan kuasa besar dunia dan Ahli Kitab.
Para rasul AS dituduh gila, ahli sihir, pemecah belah masyarakat, ganas, zalim dan lain-lain jenama yang dipilih atau difitnah dengan berbagai-bagai cara, bahkan Allah dan Rasul juga dihina dan dicela. Malah, ada kalangan mereka yang diseksa, dipenjarakan, dibuang negeri dan dibunuh.
Selepas tiada lagi nabi, maka kumpulan Islam pula yang diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi. Maka, menjadi kewajipan mereka untuk menghadapi lawan yang sama prinsip dan konsepnya.
Allah menetapkan wajib adanya kumpulan Islam sepanjang zaman yang setia berwala’ kepada Allah dan Rasul. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ٥٦
“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya (Islam), maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum (kumpulan) yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, yang bersikap keras terhadap orang-orang yang menentang, (kumpulan itu) yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54-56]
Firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam yang sempurna), menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Kumpulan Islam itu dinyatakan ciri-ciri serta sifat-sifatnya dari segi prinsip, konsep jemaah dan sifat pengikutnya, termasuk cabaran yang dihadapi apabila meletakkan Islam di hadapan.
Bagi mencapai kemenangan dunia dan akhirat yang dijanjikan Allah, maka setiap kumpulan Islam wajib menghadapi ujian dalam menentang semua musuh Islam sepanjang zaman yang menghalang Islam itu ditegakkan secara berdaulat atau bernegara yang berkuasa. Para nabi dijadikan teladan. Rasulullah SAW bersabda:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.
“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, para pemimpin yang mentadbir urusan politik mereka dalam kalangan para anbiya’. Setelah wafat seorang nabi, maka digantikan dengan nabi yang lain selepasnya (secara silih berganti). Tiada lagi nabi selepas diriku (Muhammad SAW), namun akan ada para khalifah (pemimpin) atau raja-raja yang ramai (bukan daripada kalangan nabi). Dan jumlah mereka itu amatlah ramai.
قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟
Para sahabat bertanya, ‘Apakah pesanan kamu kepada kami?’
قَالَ: أَوفُوا بِبَيعَةِ الأَوَّلِ فالأَوَّلِ، ثُمَّ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، وَاسْأَلُوا اللَّه الَّذِي لَكُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.
Sabdanya: Tunaikan baiah (janji kesetiaan) kepada yang terawal dan kemudian yang berikutnya. Tunaikan kewajipan yang menjadi hak mereka. Dan mohonlah kepada Allah agar ditunaikan hak kamu. Mereka akan dipertanggungjawabkan dan disoal oleh Allah akan segala kewajipan mereka (pada Hari Kiamat nanti).” [Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya; No. 3455 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1842, daripada Abu Hurairah]
Adanya golongan yang menentang agama Allah bagi menguji perjalanan hidup manusia yang berakal. Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢
“Maha Suci Allah yang pada tangan-Nya sahajalah segala kerajaan (pemerintahan di dunia dan di akhirat), dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Dialah yang menjadikan mati dan hidup untuk Dia menguji kamu bahawa siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1-2]
Penentangan dilakukan kerana mereka menolak ajaran Islam yang sempurna. Allah menegaskan supaya menolak mereka dan semua tindakan yang menolak ajaran Islam dianggap langkah-langkah syaitan yang menjadi musuh. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [Surah al-Baqarah: 208]
Maka, sebuah perjuangan yang benar dengan menegakkan Islam yang sempurna, wajib berdepan menghadapi bala tentera syaitan dengan segala bentuk kezaliman, fitnah, dan segala bentuk serangan.
Firman Allah SWT:
وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ٨ ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ٩
“Dan mereka tidak menyeksa orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji. (8) (Tuhan) yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; dan Allah itu Maha Menyaksikan segala sesuatu. (9)” [Surah al-Buruj: 8-9]
Ayat Allah di atas merupakan ayat yang paling benar menegaskan bahawa adanya ujian getir terhadap pendukung Islam sepanjang zaman, sehinggakan mereka menjadi sasaran sama ada dari sudut jasad mahupun roh, atau fizikal mahupun mental oleh musuhnya sejak Iblis yang sombong dan dengki terhadap Adam yang diberikan amanah, beribadat dan mentadbir urusan dengan ketentuan Allah dan hidayah-Nya.
Iblis dan bala tenteranya melakukan segala cara dan pendekatan untuk menipu dan berbohong dengan menabur fitnah, sehinggalah tindakan membunuh dengan penuh kejam terhadap kumpulan Islam supaya rosak fikiran dan akalnya. Bahkan, mereka memaksa dengan cara yang paling kejam untuk diheret bersamanya ke dalam neraka. Allah menceritakan ucapan Iblis melalui firman-Nya:
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ٨٢ إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ٨٣
“Iblis menjawab, ‘Demi kekuasaan Engkau! Aku akan menyesatkan mereka semuanya. (82) Kecuali hamba-hamba-Mu yang dibersihkan daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan antara mereka. (83)” [Surah Sad: 82-83]
Para rasul AS merupakan manusia terbaik pilihan Allah yang wajib bersifat benar, amanah dan paling bijak, sebagaimana yang disaksikan sendiri oleh kaum dan bangsanya. Tiba-tiba, mereka pula dilabel pembohong, bodoh, gila sehinggalah zalim dan pengganas, kemudian seruan mereka ditentang secara habis-habisan.
Namun, kumpulan Islam diwajibkan berusaha menyelamatkan seramai mungkin manusia bersama Islam dengan cara berhujah secara beradab dan bijak. Sehinggalah berperang terhadap golongan yang melampau, dengan syarat jangan sekali-kali berlaku zalim dan melampau seperti musuh itu, bersifat pemaaf yang mendahului kemarahan.
Firman Allah SWT:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang paling baik. Sesungguhnya, (Tuhanmu) Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125) Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka balaslah dengan balasan yang sama seperti seksaan yang ditimpakan ke atasmu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah berhasil kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekufuran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” [Surah al-Nahl: 125-128]
Firman Allah SWT:
وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ نَزْغٌ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٦
“Dan tidaklah sama antara kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba ada orang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (34) Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. (35) Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [Surah Fussilat: 34-36]
Kini, senjata media digunakan bagi memburukkan wajah Islam dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Islam. Apabila berlaku kelemahan manusia pada diri segelintir kumpulan Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan moral atau jenayah, maka akan dibesar-besarkan beritanya. Sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz, imam, orang yang berkopiah, apalagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya, atau dipakaikan jilbab wanitanya.
Keadaan ini laksana peribahasa, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Walaupun dalam lapangan yang sebenar, mereka yang tidak berpendidikan agama dan tidak beragama pula macam binatang yang tidak terkira banyaknya melakukan kejahatan, tetapi disembunyikan atau ditutup dan dibela, kerana mereka itulah bala tentera iblis dan syaitan.
Begitu juga, apabila berlakunya dalam kalangan agamawan yang sebenarnya bebal dan tidak bertafaqquh (faham) dalam agama melakukan kesalahan yang melampau daripada petunjuk agama atau menyalahgunakan agama Islam yang terbaik dan indah. Maka, pasti akan ada pihak yang bertindak laksana kera yang mendapat bunga lalu dikoyak-rabakkan.
Maka, dibesarkan beritanya atau direka cipta beritanya seantero dunia, diulang dan didramakan dengan lakonan-lakonan yang dicipta supaya dapat menarik perhatian agar ramai yang membenci Islam dan kumpulannya yang sebenar bagi mencacatkan wajahnya yang sebenar.
Termasuklah kaum Muslimat yang berpakaian menutup aurat, lebih-lebih lagi yang berpurdah maka dilabel Islam melampau, memejam mata terhadap pakaian yang tidak bersopan seperti binatang. Begitu juga, golongan yang liberal fahaman dan amalannya sehingga lebih teruk daripada binatang yang membanjiri negara-negara Barat tidak disekat tempiasnya yang turut melanda negara bekas jajahan termasuk negara umat Islam.
Apa sahaja langkah menyokong Islam, pasti akan dibelasah dengan pelbagai tuduhan fitnah dan penghinaan, sama ada berucap, beramal, berderma dan apa sahaja kerja Islam dipandang hina. Penentangan dilakukan dengan segala cara, bermula dengan menggunakan platform media melalui tulisan, ucapan, tayangan, lukisan karikatur (kartun) sehinggakan tindakan yang menyusahkan kehidupan dan tindakan undang-undang yang zalim.
Ada juga kelompok yang bertopengkan agama bagi mengelirukan dengan menggunakan agamawan atau tokoh-tokoh yang dapat dibeli supaya memutarbelitkan ajaran agama. Firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧
“Dan bacakanlah kepada mereka, khabar berita seseorang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk daripada kalangan orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, nescaya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu. Akan tetapi, dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dijulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175-177]
Mereka ialah daripada kalangan agamawan yang berwawasan dunia sahaja tanpa berwawasan akhirat. Hal ini disebabkan mereka mengejar harta dan pangkat, sehingga sanggup menjual agama dengan harga yang murah, menegakkan kebatilan dan menyembunyikan kebenaran. Perbuatan mereka itu laksana Ahli Kitab pada zaman Nabi Muhammad SAW, para orientalis dan ulama’ jahat yang bersekongkol dengan musuh yang menentang Islam.
Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara khusus dan semua kumpulan Islam yang benar-benar menegakkan Islam menjadi sasaran fitnah serta tekanan di seluruh pelosok dunia, termasuk kalangan umat Islam yang kini berada di negara-negara Barat, Amerika Syarikat dan Eropah serta negara-negara di bawah pengaruhnya yang menjulang demokrasi, namun dinafikan hak kepada kumpulan Islam. Diintip segala kesilapan umat Islam atau direka cipta fitnah terhadapnya. Apa sahaja perkara yang kecil akan dibesar-besarkan untuk sebaran atau dicipta yang tiada tindakan semata-mata untuk membawa wajah buruk terhadap Islam.
Malah, turut dilaporkan bahawa PAS ditetapkan menjadi sasaran pertama kerana kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, apabila menjadi parti paling banyak memenangi kerusi di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperintah. Sehingga ditakut-takutkan masyarakat dengan jenama bahaya gelombang hijau. Walau bagaimanapun, PAS tetap memilih pendekatan perlawanan secara damai berprinsipkan demokrasi, walaupun berlawan di atas padang yang tidak sama rata dan sistem yang tempang terhadap Islam.
Semuanya merupakan senario yang berlaku dalam usaha menegakkan Islam yang sebenar, dan diwajibkan kepada kumpulan Islam menghadapi ujian untuk mencapai kemenangan di dunia dan juga di akhirat kelak. Allah SWT berfirman kepada generasi awal Islam:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ ٱلصَّـٰدِقِينَ١١٩ مَا كَانَ لِأَهۡلِ ٱلۡمَدِينَةِ وَمَنۡ حَوۡلَهُم مِّنَ ٱلۡأَعۡرَابِ أَن يَتَخَلَّفُواْ عَن رَّسُولِ ٱللَّهِ وَلَا يَرۡغَبُواْ بِأَنفُسِهِمۡ عَن نَّفۡسِهِۦۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا يُصِيبُهُمۡ ظَمَأٞ وَلَا نَصَبٞ وَلَا مَخۡمَصَةٞ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَـُٔونَ مَوۡطِئٗا يَغِيظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنۡ عَدُوّٖ نَّيۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٞ صَٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٢٠ وَلَا يُنفِقُونَ نَفَقَةٗ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةٗ وَلَا يَقۡطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمۡ لِيَجۡزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحۡسَنَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ١٢١
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar. (119) Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi di sekitar mereka berdiam diri, tidak turut menyertai Rasulullah (berjuang) dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul. Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskan bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya, Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (120) Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan ditulis bagi mereka (amal soleh pula) kerana Allah akan memberikan balasan kepada mereka yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (121)” [Surah al-Tawbah: 119-121]
Al-Quran ialah petunjuk yang kekal sepanjang zaman.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Zulqa‘dah 1445 / 28 Mei 2024
[Bil: 25 / 2024]