KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.
Memulakan pembinaan sejak tahun 2014, HoSZA merupakan hasil hasrat dan titah Sultan Mizan.
Ia diserahkan kepada UniSZA pada tahun 2022.
HoSZA kini telah membukakan beberapa perkhidmatan termasuk Klinik Perubatan Am dan memiliki fasiliti seperti Klinik Pakar, Jabatan Kecemasan serta 200 katil buat fasa pertama.
Terdahulu, Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 11.20 pagi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah.
Turut menyambut keberangkatan tiba ialah, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Naib Canselor UniSZA, Dato’ Dr Fadzli Adam dan seluruh pengurusan universiti berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Dato’ Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron dan kemudian diteruskan dengan persembahan ucapan oleh Dr. Fadzli dan Dr Samsuri kepada tetamu yang hadir.
Sultan Mizan diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu kemudian berkenan mencemar duli menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pelancaran.
Sultan Mizan turut berkenan menerima menyaksikan UniSZA memeterai kerjasama strategik bersama Institut Jantung Negara (IJN) dan PERKESO.
Seterusnya, Sultan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja berkenan melawat ruangan HoSZA.
Baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja berangkat pulang pada kira-kira jam 1.30 petang.