Oleh : HABSAH ALI
ROMPIN, 9 Mei – Kerajaan Negeri Pahang diminta agar berlaku adil kepada blok parti pembangkang, tidak melanggar hak demokrasi dan yang dilaung-laungkannya sebelum ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam Ustaz Nazri Ahmad melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan kuasa ghaib membatalkan penggunaan dewan orang ramai yang telah ditempahnya dan mendapat kelulusan.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Ahli Dewan Negeri Perikatan Nasional Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
“Pembatalan telah dilakukan di saat-saat akhir setelah persiapan dilaksanakan, kami hanya mahu mengadakan jamuan Hari Raya sahaja bukan berpolitik.
“Kerajaan juga sering mengatakan kerajaan ini adalah kerajaan perpaduan. Apa makna perpaduan? Perpaduan adalah mengajak kebaikan, ajak orang buat baik, beri hak yang sepatutnya bukan menafikan.
“Bagaimana rakyat boleh berpadu kalau amalan khianat, amalan yang tidak demokrasi terus disuburkan oleh kerajaan sendiri,” katanya lagi.
Isu yang sama juga telah disentuh oleh ADN Kuala Semantan Hassanuddin Salim.
“Kalau memang tidak diizinkan, keluarkan satu regulation kami tidak boleh guna, jadi daripada awal kami tidak memohon.
“Ini bila kita dah mohon, dah lulus, last minute, sehari atau dua hari program nak berlangsung tiba-tiba dibatalkan. Ini semacam penganiyaanlah pada kami, kami dah ready dengan persediaan, perbelanjaan, tiba-tiba dibatalkan,” kata Hassanuddin.
Menurut beliau ianya berlaku di Temerloh ketika meraikan kemenangan Perikatan Nasional pada PRU ke-15 lalu.
Selain dari Bukit Ibam dan Temerloh peristiwa yang sama juga berlaku di Jengka.