Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 5 Mei – “Politik di Indonesia lebih matang dan terbuka, pembangkang dan kerajaan saling bekerjasama dengan baik dan menghormati suara rakyat.
“Bukan setakat peruntukan saja diberi, malahan mereka juga diberikan dana politik untuk menguruskan parti, berdasarkan jumlah undi yang mereka dapat” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang Andansura Rabu setelah meraikan lawatan kerja Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Provinsi Riau Indonesia ke Pahang di sebuah hotel di sini semalam.
Menurut Andansura lawatan tersebut menghasilkan perkongsian yang sangat baik, saling bertukar-tukar fikiran dan pengalaman dalam usaha untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada parti masing-masing.
“Lajnah-lajnah yang dibentuk hampir sama dengan struktur organisasi kita di peringkat negeri, kawasan dan penguasaan yang lebih mengutamakan kepada kebajikan dan masalah rakyat,” tambah Andansura yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.
Lawatan kerja PKS seramai 40 orang itu diketuai oleh Ketua Dewan Pengurus Wilayah Ustaz Ahmad Tarmizi Muhammad Roem, turut sama Ketua Majelis Pertimbangan Wilayah Ustaz Ayat Cahyadi, Ketue Dewan Syariah Wilayah Ustaz Fauzi Hayat.
Sementara PAS Pahang dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pahang yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang sendiri.