Oleh : Nurizyan Haziqah Hussin
30 April 2024
PAPAR : Lebih kurang 1000 orang pengunjung telah menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Papar yang berlangsung di perkarangan Pusat Pendidikan Imam Nawawi, di sini, semalam.
Menurut Ketua Dewan Ulamak Negeri Sabah, Ustaz Adsman Jupri, majlis berlangsung dengan meriah walaupun Syawal telah memasuki minggu ketiga.
“Pelbagai menu yang dihidangkan kepada semua pengunjung disediakan oleh institusi pendidikan di bawah PAS iaitu TASTI, PASTI, SRITI dan Madrasah Imam Nawawi (MA’IN).
“Terima kasih kepada semua kerana hadir bagi memeriahkan lagi majlis pada kali ini, sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita,” ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan.
Antara tetamu jemputan yang hadir sepanjang majlis berlangsung ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim dan Pengerusi Bersatu Papar, Faizal Julaili.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Rapihi Wasihim Al-Banjari, Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah dan Yang Dipertua serta Naib Yang Dipertua PAS Papar, Abd Salim Karim dan Azmi Dalin.
Majlis turut meraikan kehadiran waris murid dan pelajar TASTI, PASTI, SRITI, MA’IN, wakil ahli jawatankuasa masjid sekitar Papar serta orang awam.