&
(Nota : Sila baca hansard ini dengan teliti dan baca bersama ulasan akhir untuk mengambil kesimpulan)
Rujukan : Penyata Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, 1-4 April 2019
Sesi Soalan Lisan sempena Persidangan pada 3 April 2019. Soalan asal daripada Haji Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit) dan soalan tambahan daripada Dato’ Seri Haji Ahmad Bin Said.
YANG BERHORMAT DATO’ SERI HAJI AHMAD BIN SAID (Wakil Kijal): Terima kasih. Tapi mengikut kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tahun lepas bagi tiga kali beruncit-runcit. Ini adalah menyalahi perjanjian yang sepatutnya dilaksanakan dengan syarat Kerajaan menulis surat kepada Kerajaan Pusat mengapa ini terjadi. Adakah Kerajaan Pusat tak ada duit juga? Sedangkan minyak dapat sepanjang masa. Dua soalan saya tadi, satu bagi tahun 2019 boleh atau tidak lagi setakat ini. Yang kedua, kenapa tiga kali bayaran dan sekiranya ini berlaku bagi saya Kerajaan Negeri akan suffer dengan izin, sebab saya dimaklumkan sekurang-kurangnya ikut payment saja kena bayar tahun ini lebih kurang RM200 juta. Ini hakikat yang perlu diketahui oleh rakyat sebenarnya. Terima kasih.
YANG BERHORMAT YANG DI-PERTUA: Okey Yang Berhormat, Terima kasih.
YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR: Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Kijal. Apa yang disebut oleh Yang Berhormat Kijal adalah merupakan suatu realiti bahawa penerimaan kita pada penerimaan wang royalti pada 2018 adalah secara beruncit-runcit dan memang apabila dibayar secara beruncit ini akan menyukarkan dari segi perancangan kewangan termasuklah pembayaran-pembayaran yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Walaupun begitu, kita juga dalam beberapa kesempatan menyuarakan kegusaran kita dan ketidakpuashatian kita bahawa secara pembayaran beruncit ini akan menyukarkan Kerajaan Negeri yang berkait juga dengan suatu penderaan secara halus kepada rakyat. Tapi sehingga kini kita belum mendapat satu jawapan yang pasti yang tuntas daripada Kerajaan Pusat.
Ingin saya jelaskan juga bahawa pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menerima bayaran royalti ataupun Wang Tunai Petroleum sebanyak RM193.18 juta yang mana sebenarnya RM193.18 juta ini adalah Wang Tunai Petroleum yang sepatutnya kita terima pada tahun 2018 tetapi diberi runcit-runcit sampai yang terakhir itu dibayar pada Januari 2019. Dan jumlah tersebut yang kita terima sebanyak RM193.18 juta itu adalah jumlah bersih setelah ditolak siang-siang, orang Terengganu kata …..
YANG BERHORMAT YANG DI-PERTUA: Dicandat.
YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR: Dicandat siap-siap sebanyak 25% oleh Kerajaan Pusat. Persoalan sama ada kenapa itu berlaku, saya rasa kita Dewan yang mulia ini dan seluruh rakyat Terengganu menuntut satu jawapan yang pasti daripada Kerajaan Pusat sama ada saya ingin mengulangi apa yang disebut oleh persoalan Yang Berhormat Kijal bahawa sama ada Kerajaan Pusat ada duit ke tidak ataupun apa masalah mereka, itu saya rasa memerlukan suatu jawapan pada seluruh rakyat Negeri Terengganu.
YANG BERHORMAT DATO’ SERI HAJI AHMAD BIN SAID (Wakil Kijal): Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan lagi iaitu kalau nok kira candatlah sepatutnya Kerajaan Pusat juga harus mengambil kira tentang pengambilan duit Kerajaan Negeri yang membina Lebuh Raya Pantai Timur. Kalau kita ada hutang RM700 juta, dia ambil duit kita RM1.850 bilion, tolaklah ada RM1 bilion lagi dan tidak termasuk RM200 juta yang saya tuntut setiap tahun Januari dibayar oleh Kerajaan Pusat yang membina projek-projek di Terengganu menggunakan Dana Khas dan saya rasa belum lagi habis jumlah RM2.1 bilion dulu. Takpe, kita tak ada masalah sepatutnya. Kalau nak kita fair and square lah atau tak nak tolak hutang kita dan kita masih berbalance lagi. Dan kita haraplah kita dapat berjumpa, tulis surat kepada Perdana Menteri dan saya bersedia seperti yang saya kata dahulu bersedia menghadap PM bersama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar demi kepentingan Negeri Terengganu. Takkan hutang kita nak potong, hutang dia tak nak potong? …(Tepukan sokongan) …. Janji boleh belaka, nak bagi balik royalti dan sebagainya. Ini pembohong semata-mata. Terima kasih.
YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR: Terima kasih kepada Kijal. Pertama saya sangat teruja di atas tawaran yang diberikan oleh Yang Berhormat daripada Kijal. Insya-Allah kita akan sama-sama berusaha bersepadu untuk kebajikan rakyat Negeri Terengganu. Sememangnya setelah kita menerima surat pemotongan sebanyak 25% itu, maka dalam masa yang sama kita juga akan sedang dalam proses untuk menuntut hutang-hutang Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri di mana yang berjumlah jangkaan dalam pengiraan kita adalah berjumlah RM1.651 bilion, di mana ianya adalah bayaran balik DKKP 2019 sebanyak RM220 juta dan bayaran balik pembinaan LPT2 – RM1.431 juta. Sekian.
***
Dalam usaha untuk memahami isu hak Negeri Terengganu, nada mantan Menteri Besar Terengganu sewajarnya terus konsisten sehingga hari ini. Mereka tahu, menyekat hak Negeri Terengganu akan memberikan kerajaan negeri ‘suffer’ untuk menguruskan perancangan dalam negeri. Sejak penggal pertama lagi, di awal pemerintahan PH waktu itu, pembayaran secara pemotongan 25% daripada jumlah asal untuk pembayaran hutang. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang menanggung beban membayar hutang projek-projek ‘deferred payment’ dan ‘scheduled payment’ yang diwarisi kerajaan sebelum ini. Kerugian kita kerana sikap ini akan memberikan kesan buat negeri khususnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi secara lebih terancang dan berobjektif.
Soalan yang penting juga, apabila anggapan pendapatan negeri yang bergantung dengan royalti sehingga mencecah 80-85% setiap tahun sebagai kegagalan kerajaan negeri. Adakah mereka merasakan pergantungan dengan royalti ini hanya bermula pada zaman YAB Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri menjadi Menteri Besar sahaja? Manakala MB-MB yang terdahulu tidak bergantung dengan royalti? Siri akan datang, kita terbitkan angka-angka ini untuk dihadam bersama.
Soalan yang sama jugak, apakah zaman YAB Dr Sam sebagai MB tiada usaha penambahan pendapatan baharu? Juga, kita ambil ruang dalam siri mendatang.
Sebagai anak Terengganu, saya sekali lagi menyeru agar kita bersatu hati tanpa melihat politik kepartian untuk memastikan hak Negeri Terengganu ini kembali diurus di bawah kerajaan yang dipilih rakyat. Ya, rakyat Terengganu perlu bersatu hati atas nama hak kita. Soal nama royalti atau apapun, kita bakal kemukakan ucapan pimpinan dari parti yang lain samada nama atau penyaluran yang penting untuk kepentingan Negeri Terengganu. InsyaAllah. – R