Home Berita PAS Pahang

3 cadangan kawal kebakaran belukar di Gebeng

51
SHARE
INDERA MAHKOTA, 7 Apr – Kebakaran belukar hampir empat minggu di Gebeng masih belum dapat dikawal malahan asap jelas kelihatan di kawasan awam sekitar Gebeng, Balok dan Sungai Ular.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu telah turun ke lokasi berkenaan melihat usaha pemadaman dan kawalan yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng di sini hari ini.

“Asap dan bau dilaporkan sampai ke Cherating manakala para pekerja industri di Gebeng melaporkan asap semakin tebal. Keadaan ini boleh mengganggu aktiviti penduduk selain boleh mengancam kesihatan,” ujar beliau.

Justeru beliau menerusi laman sosialnya telah mencadangkan tiga tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani situasi ini.

  1. Penggunaan water bombing melalui udara sebagai langkah sokongan kepada pasukan Bomba yang sukar menghampiri lokasi tertentu dan masalah bekalan air.
  1. Bantuan jentera dan peralatan dari syarikat pemilik projek MCKIP boleh digembelengkan untuk membantu mengawal kebakaran seperti mengorek parit pemisah api atau lain-lain langkah yang berkesan.
  1. Operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan bagi memadam bara-bara api di tanah gambut yang agak luas, cuaca panas dan ketiadaan bekalan air menyebabkan api mudah merebak dan usaha kawalan sukar dilaksanakan.

Sebagai umat Islam, beliau menyeru kepada pihak pentadbir masjid dan surau untuk melaksanakan solat sunat istisqa’ bagi memohon pertolongan dari Allah SWT agar diturunkan hujan.

Ujarnya perkara yang sama telah dilakukan oleh masjid dan surau di daerah Pekan agar diturunkan hujan untuk menaikkan paras air di Sungai Pahang sebelum ini.