KUALA TERENGGANU – Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila berjaya memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 2.79 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.09.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, calon STAM yang menduduki peperiksaan bagi 2023 adalah seramai 165 dan 53 daripada jumlah itu dari sekolah agama kerajaan manakala calon institusi kerajaan negeri (89) dan calon persendirian (23)
Katanya, seramai tujuh calon STAM memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz) iaitu lima daripadanya adalah pelajar sekolah SMA (ATAS) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan dua lagi daripada Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu
“Sekolah Menengah Agama (SMA) (ATAS) Sultan Zainal Abidin menjadi sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.37 peratus.
“Kedua SMA Al-Falah iaitu GPS 3.04, Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu 2.47, Institut Pengajian Islam 2.50 dan Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman 3.86,” katanya di sidang media selepas mengumumkan keputusan STAM peringkat negeri Terengganu, hari ini.
Mengulas mengenai jumlah calon yang sedikit menduduki STAM, JPNT akan melihat keperluan meningkatkan pertambahan calon dari semasa ke semasa
“Kita dapat lihat STAM sebenarnya menjadi platform bagi pelajar terutama yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara yang mana hanya dua sekolah kelolaan KPM yang menawarkan STAM.
“Kita akan lihat kesesuaian untuk menambahnya berdasarkan keperluan selepas ini,” katanya.