KUALA TERENGGANU – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merealisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di Terengganu setakat Mac ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan itu termasuk dalam sektor pembuatan besi dan keluli, penanaman napier, kilang pulpa dan bekas makanan yang akan membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Katanya, pelaburan bernilai RM2.4 bilion itu mewakili 57 peratus daripada RM4.2 bilion sasaran pelaburan untuk Terengganu tahun ini.
“ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac tahun ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion.
“Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Terengganu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Ishamudin Hashim; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, beliau percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.
“Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” katanya.
Sementara itu, Baidzawi berkata, beliau yakin peranan dimainkan oleh ECERDC sebagai ‘one-stop agency’ yang memberikan khidmat memudahcara pelaburan secara ‘end-to-end’ adalah penting dalam merealisasikan pelaburan dan membuka pintu kepada aktiviti-aktiviti ekonomi di negeri Terengganu.
“Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ECERDC untuk menarik pelaburan baharu termasuk sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau dan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) komitmen kerjasama dalam pembangunan, promosi dan penggunaan Tenaga Boleh Baharu di ECER bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China,” ujarnya.