KUALA TERENGGANU – Bulan Ramadan kali ini turut dimanfaatkan dengan aktiviti menyantuni masyarakat melalui Program Iftar Insani atau berbuka puasa di rumah penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata Iftar Insani adalah salah program di bawah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang bagi memenuhi taqwim Ihya’ Ramadan DUN Ladang kali ini.
“Iftar Insani adalah program anjuran PKM ADUN Ladang, di mana kami berbuka puasa di rumah penduduk yang terpilih, mereka ini terdiri daripada kalangan asnaf.
“Kami bawakan juadah berbuka puasa dan berkongsi rezeki bersama-sama, pada masa yang sama kami turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf tersebut”, ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
“Kami sudah masuk ke siri kedua Program Iftar Insani ini, sebelum ini kami berbuka puasa di Bukit Besar dan kali ini di Ladang Titian
“Insya-Allah kami akan teruskan lagi program ini, menyantuni lebih ramai asnaf dalam DUN Ladang,” tambahnya lagi.
DUN Ladang telah merencana beberapa program di bawah program induk Ihya’ Ramadan DUN Ladang 1445H, antaranya termasuklah Iftar Insani, Ladang Bertadarus, Zikir Munajat dan lain-lain.