KUALA TERENGGANU – “Saya terdiam dan kagum,” demikian respon ringkas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mendengar penjelasana Perdana Menteri tentang royalti.
Katanya, beliau tidak dapat menahan perasaan itu selepas berulang kali mendengar ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mendengar berulang kali penjelasan YAB PM mengenai hal berkait royalti dan peruntukan untuk Terengganu dan lain-lainnya.
“Saya terkesima. ‘I was speechless and amazed’,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, pagi semalam Anwar menegaskan tidak wujud istilah kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaannya sudah melunaskan pemberian wang ihsan berdasarkan hasil petroleum 2023 sebanyak RM786 juta.
“Pemberian Persekutuan kepada Terengganu (selain wang ihsan) pada 2022 ialah RM399 juta, 2023 kita tambah menjadi RM413.64 juta dan 2024 ada tambahan lagi. Zalim macam mana?,” soal Perdana Menteri.
Untuk rekod, wang ihsan atau bayaran hasil petroleum milik rakyat Terengganu dibayar sekitar RM1.3 hingga RM1.5 bilion setiap tahun.
Namun, pada 2023, Anwar mengesahkan hanya melunaskan RM786 juta.
Pada 27 November 2023, Ahmad Samsuri dilapor berkata kerajaan negeri pimpinannya hanya menerima RM510 juta royalti petroleum berbanding anggaran royalti petroleum atau wang ihsan dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.524 bilion.
Perkara ini mengundang perasaan tidak puas hati daripada rakyat Terengganu.