Home Berita PAS Pahang

Litar pintas – dua keluarga kesedihan di bulan Ramadan

92
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 22 Mac – Dua buah rumah kembar terbakar dipercayai berpunca dari litar pintas di Taman Balok Makmur di sini semalam.

Mangsa kebakaran pertama, Kamal Ridzuan Mamat ketika ditemui berkata semasa kejadian isteri dan tiga orang anaknya berada di rumah.

Isterinya hanya mampu membawa keluar anak-anak dan dokumen penting sahaja dalam asap tebal yang telah memenuhi rumahnya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, kemusnahan yang berlaku dianggarkan sekitar 90 peratus dan rumah tersebut tidak selamat untuk didiami.

Manakala mangsa kedua Hamzah Husin berkata semasa kejadian hanya isterinya sahaja yang berada di rumah, manakala tiga orang anaknya telah keluar bekerja.

Kebakaran dari rumah jirannya telah merebak ke rumahnya dan menyebabkan kerosakan di bahagian bumbung rumah di ruang tamu.

Kedua-dua keluarga ini telah menumpang di rumah keluarga masing-masing untuk penempatan sementara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu telah tiba di tempat kejadian sebaik sahaja berlaku kebakaran.

Menurut beliau, pihaknya melalui PAS Cawangan Balok Makmur telah menghantar keperluan segera seperti pakaian dan kelengkapan peribadi kepada mangsa pertama.

Sementara itu, Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (Helwa Care) Kuantan dan Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, diketuai oleh Salwani Saleh dan Azmoni Mohamed telah menziarahi kedua keluarga berkenaan bagi menyampaikan sumbangan di tempat kejadian pada hari ini.