Home Berita PAS Terengganu

Raja Muda Terengganu kurnia 300 baju raya

11
SHARE

DUNGUN – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 300 orang terpilih.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Pada majlis yang diadakan di Masjid Kampung Pulau Serai, Dungun itu, seramai 300 orang penerima bantuan Aidilfitri daripada dua daerah yang terlibat iaitu Dungun dan Kemaman.

Sumbangan tersebut terdiri sepasang baju raya, sebuah sampul surat yang berisi wang ringgit, dan sekotak buah kurma untuk setiap penerima.

Para penerima terdiri daripada golongan para pelajar dan peserta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Seramai 200 pelajar penerima dari 15 sekolah terpilih di Dungun dan Kemaman, dengan 100 pelajar dari setiap daerah.

Manakala, peserta bantuan JKM pula terdiri daripada 50 orang dari Dungun dan 50 orang dari Kemaman.

Program yang bermula pada pukul 6.15 petang itu diawali dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan pengagihan sumbangan kepada 300 orang peserta terpilih dalam program tersebut.

Raja Muda Terengganu kemudian berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 orang jemaah yang hadir pada majlis berkenaan.

Selepas santapan berbuka puasa, baginda berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih berjemaah.

Baginda diiringi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri berangkat dari majlis sekitar jam 10.00 malam.