Home Berita PAS Terengganu

Apa usaha Kerajaan Terengganu untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak?

50
SHARE

Pertama sekali, dalam apa pun tajuk perbincangan, satu kenyataan yang tak dapat dinafikan ialah wang hasil minyak adalah hak rakyat Terengganu.

Kerajaan Terengganu telah menyediakan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu menggariskan 7 strategi bagi mengoptimunkan hasil pendapatan negeri sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil petroleum dan sebagai persedian menghadapi impak kekurangan hasil petroleum

Penggal lepas Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan sekitar antara 3% hingga 4% pergantungan kepada hasil minyak. Masih lagi kejayaan pengurangan pada kadar peratusan yang tak begitu besar. Tapi perancangan yang jauh bermula dengan beberapa langkah permulaan. Tentunya kita optimis ia akan dapat dikurangkan lagi dengan pelbagai pelan perancangan.

Antaranya penggubalan Enakmen Sumber Air Terengganu 2020 disasarkan mampu menjana RM100j setahun dari pelbagai sumber air yang ada di bumi Terengganu.

Kerajaan Terengganu juga telah menubuhkan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) merupakan pusat pengurusan Infrastruktur Utiliti Negeri Terengganu dan merupakan Pusat Sehenti Berpusat untuk permohonan korek gali utiliti.

Kadar fee sumber hasil hutan yang sudah berbelas tahun tidak dikaji telah dikaji semula untuk memberikan lebih pulangan hasil kepada Negeri Terengganu.

Kadar premium, cukai dan beberapa bayaran dari sumber hasil tanah di Terengganu adalah antara yang paling rendah dalam negara. Ianya sudah berbelas tahun tidak dikaji selaras dengan perkembangan semasa. Tentu sekali kajian baharu ini akan mengambil kira setiap aspek terutamanya supaya perubahan ini tidak mengabaikan kebajikan serta kemampuan rakyat umum.

Cukai-cukai galian yang sudah agak lama tak disemak dalam Enakmen Mineral Terengganu. Mineral dan galian adalah antara khazanah negeri yang perlu dimanfaatkan sebagai sumber hasil negeri. Ia adalah hak penduduk bumi Terengganu.

Berdasarkan kajian di bawah RMK-12 dari 2016-2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti sebahagian besarnya terdapat di Terengganu.
Kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) sebagai platform dalam menangani semua urusan berkaitan perlombongan dan pembangunan industri berasaskan REE. Pembangunan REE ini tentunya sedang dimanfaatkan sebaiknya oleh Terengganu dengan pembangunan keseluruhan rantaian nilai NR-REE yang juga dapat menarik kehadiran pelabur ke Terengganu.

Prestasi anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) menunjukkan potensi yang sangat cemerlang dengan peningkatan kadar keuntungan. Ianya akan menyumbang lebih bayaran dividen kepada kepada sumber kewangan negeri.

Dr Azman Ibrahim