Home Berita PAS Terengganu

Ameerah tegas PAS tidak tentang Raja

8
SHARE

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Ameerah Terengganu menegaskan bahawa PAS tidak menentang raja-raja malah parti Islam itu menghormati dan mematuhi sistem bernegara yang ditetapkan dalam perlembagaan.

Ketuanya, Asma Abdullah berkata, beliau yakin dasar dan tindakan PAS adalah yang terbaik, menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Namun PAS berhak menegur dan menasihati Raja atas alasan yang munasabah.

“Rasulullah saw juga telah menunjukkan contoh dalam menyampaikan dakwahnya dengan menulis surat raja-raja dan ini diamalkan oleh para ulama Islam di zaman terdahulu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Muqayyam Gen3 negeri Terengganu, pada 9 Mac yang lalu.

Menurutnya, berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda, “agama itu adalah nasihat”.

Justeru itu, menjadi kewajipan kepada para alim ulama menegur mana-mana pihak yang tidak mengikuti ajaran Islam sebenar.

“PAS menyuarakan teguran terhadap raja-raja atas peranannya membiarkan kemungkaran dalam pemerintahan terkini, yang dirasakan menekan dan menzalimi rakyat.

“Sabda nabi saw, jihad yang paling baik adalah di sisi sultan atau pemerintah yang zalim,” ujarnya.

Justeru itu, teguran seorang ulama patut dijadikan sebagai nasihat yang baik untuk kepentingan manusia sejagat.

“Dan ianya tidak seharusnya dijadikan isu yang menjadikan masyarakat jauh daripada agama dan membenci para ulama,” tambah Asma lagi.