BESUT – Kekecohan orang kampung sekitar Besut rentetan kehadiran ‘Abang Besar’ yang tersesat akhirnya kembali reda setelah ia berjaya ditangkap dan dipindahkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gajah yang ditangkap di Kampung Dendong, Besut telah dipindahkan ke habitat semula jadi yang sesuai dan jauh daripada konflik dengan manusia.
“Operasi perpindahan ini melibatkan 22 orang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Terengganu dan seorang kakitangan PERHILITAN Johor. Operasi bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 1 petang ini.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan Jabatan Perhilitan dan masyarakat awam yang membantu dalam menyelesaikan operasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam media sosial miliknya, petang semalam.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, gajah jantan itu telah mengganggu kehidupan manusia dan merosakkan kebun penduduk sekitar. S
Katanya, setelah tangkapan berjaya dilakukan, gajah tersebut akan ditenangkan sehari dua sebelum dipindahkan ke Taman Negara.
“Tentu akan ada orang kata, puncanya kerana manusia yang musnahkan hutan tempat habitat kehidupan gajah, akhirnya menjadi punca semua ini berlaku. Ini dinamakan faktor penolak (pushing factor).
“Dalam konteks Negeri Terengganu, jumlah keluasan hutan simpan kekal (HSK) masih pada paras 42 peratus dari keluasan negeri. Inilah standard kebangsaan yang ditetapkan untuk Terengganu. Ia memadai untuk habitat kira-kira 200 ekor gajah sebagaimana data dari Jabatan Perhilitan.
“Kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan juga menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian ia keluar bagi mendapatkan sumber makanan dengan mudah.
“Terima kasih Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu yang terus tekun bekerja bagi menyelesaikan aduan rakyat berkaitan gangguan gajah. Disamping tangkap pindah, sistem pagar elektrik gajah (SPEG) turut dipasang. Ada ketikanya teknik tembak halau digunakan untuk menghalau gajah kembali ke hutan,” jelasnya.