Firman Allah s.w.t. :
Mafhumnya : “..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu” [Al-Baqarah : 148]
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” [Aali-Imran : 133]
Kehidupan ini adalah sebuah medan perlumbaan. Berlumba untuk meraih sebanyak mungkin dan segala bentuk amal soleh di samping iman yang sejahtera. Sementara tempoh perlumbaannya pula sangat singkat. Realitinya penuh dengan segala kesenangan, kerehatan dan tipudaya.
Tanpa peringatan, kita semua berisiko lupa diri, leka, lalai, terpesona malah mungkin khayal dengan segala nikmat yang memperdaya itu tadi. Tempoh tamat bagi perlumbaan ini pula sangat mencemaskan. Pasti, namun tidak diketahui. Pengakhirannya itu pasti. Setiap jiwa akan merasai dan melaluinya. Tetapi bilakah masa tepatnya itu tiada siapa yang tahu selain Allah s.w.t
Perhatilah diri kita masing-masing. Berapa usia kita sekarang? 20? 30? 40? atau 50 tahun? Imbaslah kembali adakah 10 tahun ke belakang yang telah berlalu itu terlalu lama? Ataukah ia terasa sangat cepat dan singkat? Apakah 10 tahun ke depan pula nantinya akan menjadi lambat? Sungguh, hidup ini benar-benar permainan yang menipudaya.
Rebutlah peluang yang masih ada dan berbaki. Sama-sama kita perhebatkan amal dan bakti. Hidup ini terlalu singkat untuk kita buangkan pada perkara yang sia-sia dan tidak pasti. Berbalah pada perkara yang tidak membuahkan amal. Berkelahi pada perkara yang samar dan kabur.
Kalau bertembung, ayuh bertembung di atas haq dan batil. Membela makruf yang pasti dan menentang mungkar yang disepakati. Kewajipan dan tugas kita masih sangat banyak. Sementara jangka hayat kita semakin singkat. Berbekallah, maka sebaik-baik bekal ialah taqwa… iaitu semaksima mungkin menjunjung dan melaksana seluruh perintah Allah, dan menjauhi serta meninggalkan segala laranganNya samaada secara rahsia ataupun terang-terangan.
Marilah kita penuhi hari-hari kita dengan amal fardi, jamaie dan ijtimaie. Amal ibadah, kebaktian dan jihad. Memperhebatkan hablun minalLah dan hablun minannaas. Melunaskan kewajipan diri, keluarga, masyarakat, jamaah dan ummah secara bersungguh, menyeluruh, bersepadu dan seimbang. Menyusun gerakkerja berdasarkan keutamaan, seimbang antara jangka pendek dan panjang, antara kuantiti dan kualiti serta mengambil kira realiti.
Semoga kita dapat mengisi kehidupan yang singkat ini dengan penuh barokah. Perlumbaan yang sangat cemas namun menjanjikan keuntungan abadi.
HAZMI DIBOK
Akademi Tarbiah (AKTAR)
DPPM 2017-2019
20/7/2019