Home Berita PAS Pahang

KAST imarahkan masjid sekitar Temerloh sepanjang Ramadan

91
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

TEMERLOH, 7 Mac – Pertubuhan NGO Sahabat Huffaz Pahang akan mengadakan program Khatam Al-Quran Sepanjang Tarawih (KAST) di masjid-masjid terpilih daerah itu sepanjang ramadan.

Ini ekoran sambutan yang cukup memberangsangkan daripada orang ramai terhadap program rintis yang pernah diadakan di Kuantan dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Setiausaha pertubuhan itu, Ustaz Mohd. Zarimi Subrawi berkata, program di daerah Temerloh merupakan program sulung diadakan di luar Kuantan.

“Dua tahun lepas banyak masjid mohon nak bawa program ini di masjid mereka, Alhamdulillah tahun ini Allah beri peluang kepada masyarakat umat Islam di Temerloh, boleh rasa solat 1 rakaat 1 muka, 1 malam 1 juzuk. Insya-Allah kita akan khatamkan dalam solat tarawih,” ujarnya

Beliau berucap mewakili pengerusi pertubuhan, Dr Felza Zulhibri Abd Hamid
pada majlis perlancaran program bertempat di Masjid Abu Bakar, Temerloh, malam tadi.

Tiga buah masjid terpilih itu adalah Masjid Abu Bakar bermula pada malam pertama Ramadan hingga malam ke-sembilan, diikuti Masjid Darul Fikri pada malam ke-10 hingga ke-18 dan berakhir di Masjid SHAS Al Muastain Billah pada malam ke-19 hingga khatam kemuncak pada malam ke-27 Ramadan.

“Justeru, saya mengajak semua warga Temerloh untuk dapat sama-sama menghidupkan ramadan dengan solat tarawih lain daripada yang lain pada tahun ini.

“Kami juga amat mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada orang ramai bagi menjayakan program ini,” ujarnya.

Majlis perasmian telah disempurnakan Syeikh Abdul Karim Al-Makki, imam masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor yang turut diundang sebagai penceramah menyampaikan ceramah di ambang ramadan.

Turut hadir adalah Ustaz Mohd Aizat Hafizi, imam 1 Masjid Abu Bakar Temerloh, Ustaz Azhari Jailani, imam 1 Masjid Darul Fikri dan Ustaz Ahmad Hakim Samsudin, imam 1 Masjid baru Temerloh.