Home Berita PAS Terengganu

200 Rakyat Terengganu berpeluang kerja dengan Sony

509
SHARE

KUALA NERUS – Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 200 anak muda negeri ini yang berusia tidak lebih 35 tahun untuk bekerja dengan syarikat terkemuka dunia dari Jepun.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, temuduga untuk rakyat negeri ini bekerja di syarikat berkenaan bermula semalam sehingga 19 Februari ini membabtikan tiga daerah, Kuala Nerus, Besut dan Setiu.

Katanya, syarikat tersebut bersetuju membuka peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini setelah kunjungan hormat oleh pihak Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).

“Saya meharapkan supaya ramai lagi datang di Pusat Cari Kerja di Jalan Lapangan Terbang ini di mana hari ini (semalam) dan esok (hari ini) diadakan temuduga secara ‘outreach’ di sini sebelum ke Besut dan Setiu.

“Syarikat Sony ini menyediakan pelbagai inisiatif yang menarik dengan menyediakan penginapan yang kondusif, menyediakan bas untuk menghantar kesemua yang berjaya ditemuduga ini selain akan menyediakan bas untuk pulang dan pergi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tawaran gaji yang diberikan juga cukup menarik dengan menyediakan elaun asas yang sangat tinggi sesuai dengan keadaan semasa, melalui taklimat yang diberikan tadi saya melihat peluang untuk melakukan pekerjaan lebih masa ada jika dicampur gaji asas berserta elaun yang lain boleh mencecah RM3,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Walkabout Outreach Kerjaya di THRDC ( Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud), di sini, semalam.

Turut Hadir Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.

Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata walaupun pada permulaan syarikat tersebut hanya menawarkan perkhidmatan sebagai Operator Pengeluaran namun peluang untuk naik pangkat dan diserap ke bahagian yang lebih baik bagi menempatkan diri di Sony EMCS itu ada.

“Jika untuk menjadi operator pengeluaran ini hanya melalui sijil PMR, namun dengan memiliki SPM, Diploma dan Ijazah jika didapati bekerja dengan baik semasa menjadi operator di masa akan datang akan ditawarkan ke jawatan yang lain.

“Ini  merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangasa yang berpengalaman dalam mengeluarkan barangan elektronik berasal dari Jepun,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus merintis kerjasama dengan mana-mana majikan dalam negara ini bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan pekerjaan.

“Program secara ‘outreach’  ini kita akan terus lakukan bertemu seramai mungkin bertemu dengan mana-mana majikan yang ingin mencari pekerja,” ujarnya.