Home Berita PAS Pahang

Menghidupkan sunnah Nabi melalui aktiviti memanah

81
SHARE

Oleh : ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 15 Feb – Memanah, berkuda dan berenang merupakan aktiviti kecergasan yang sering kali dikaitkan dengan Sunnah Rasulullah SAW.

Oleh itu, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Hikmah bersama Kelas Agama Fardu Ain dan Fardu Kifayah (KAFFAH) telah mengambil peluang mengadakan kelas memanah bagi menyemarakkan Sunnah Nabi ini.

Aktiviti yang berlangsung sepanjang musim cuti sekolah diadakan di Dewan Pra Tahfiz Indera Sempurna telah mensasarkan peserta yang berumur enam hingga 15 tahun di sini bermula kelmarin.

Menurut Guru Besar PASTI Al Hikmah, Ridhuan Ngah aktiviti ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan Sunnah Nabi malah melaluinya dapat membentuk keperibadian yang baik.

“Kelas memanah ni kami buat untuk memenuhi masa cuti sekolah anak-anak dengan aktiviti yang berfaedah. Ianya dapat membentuk peribadi yang baik seperti berdisiplin, menghargai masa malah dapat menjadikan badan sihat dan cergas.

“Ibu bapa pun menerima baik kelas ni dan minggu hadapan kami akan mulakan kelas memanah untuk dewasa pula sebab ada permintaan,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Guru Besar KAFFAH, Ustazah Asnaliah Nahrawi turut mengadakan program sepanjang cuti persekolahan dengan memuatkan beberapa pengisian seperti solat Sunat Dhuha, hafazan dan mengaji al-Quran.

“Selain menggunakan buku Kaedah Membaca Pasti, kami turut guna buku Nurul Quran. Ada empat buah kesemuanya. Insya Allah dengan menggunakan kaedah ni, anak-anak akan lebih cepat membaca al-Quran.

“Ramai yang telah berjaya menghabiskan buku tersebut dan dapat membaca Quran dengan baik,” ujar Ustazah Asnaliah.

Beliau yang juga merupakan Ketua Muslimat PAS Cawangan Indera Sempurna berharap melalui aktiviti yang disediakan sepanjang cuti sekolah ini memberi manfaat kepada anak-anak dan kemudahan untuk ibu bapa sebelum bermula sesi persekolahan yang baru.