Home Berita PAS Terengganu

I-MiTS, KWSP perkukuh hubungan rakan strategik

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) komited dalam memperkukuhkan hubungan bersama rakan strategiknya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata, matlamat utama kerjasama tersebut adalah untuk menjalin hubungan baik I-MiTS bersama kerajaan negeri, melalui portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional dengan pihak KWSP.

“Pada minggu lalu kita telah mengadakan pertemuan bersama pihak KWSP bertempat di Wisma Darul Iman.

“Dalam perjumpaan tersebut, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Rahmat Ali telah berkongsi beberapa perkara antaranya memberi penerangan mengenai produk-produk yang ada di KWSP untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

“Beliau turut memaklumkan terdapat 10 produk KWSP yang perlu diketahui oleh orang ramai,” ujarnya.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu KWSP sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan sebarang program demi untuk kebajikan rakyat.

“Selari dengan misi memperkukuhkan celik pengurusan kewangan terutamanya yang berada di sektor tidak formal melibatkan pelajar, bekerja sendiri, suri rumah dan lain-lain,” ujarnya.