Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali
HULU TERENGGANU – Hasrat seorang pelajar, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 21 yang ingin melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) tidak kesampaian akibat kesakitan yang dialami.
Ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46, berkata sebelumnya Amirul tidak pernah mengalami sebarang penyakit namun peristiwa pada tarikh 18 Disember 2023 menyebabkan segalanya berubah dalam satu detik.
Katanya, Amirul telah pengsan tiba-tiba di ruang tamu apartment di Taylor University dan hasil dari siasatan hospital mendapati salur darah dalam otaknya telah pecah.
“Doktor menjelaskan kepada saya bahawa tengkorak di bahagian otak Amirul pula tidak mengalami sebarang retak namun punca pendarahan itu masih belum diketahui lagi.
“Amirul telah dibawa ke Sunway Medical Centre Unit Kecemasan dan dipindahkan ke Hospital Cyberjaya pada hari sama kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rumahnya pada hari ini.
Turut hadir menziarahi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Merangkap ADUN Ajil, Maliaman Kassim.
Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana bagi meringankan kos perubatan dan makanan harian Amirul.
Beliau juga mendoakan Amirul agar cepat sembut dan kembali sihat seperti sedia kala supaya dapat merialisasikan impianya.
“Di samping, semoga dia dapat menjalani kehidupan seharian seperti orang-orang lain,” ujarnya.